153 PATI Indonesia Diusir

Oleh ILONA ANDREW
KOTA KINABALU: Seramai 153 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir pulang ke negara asal menerusi Program Pengusiran Siri Ke-Sepuluh Tahun 2020, hari ini.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua Pati itu dihantar ke Indonesia melalui jalan laut.

“Jumlah keseluruhan pengusiran PATI sepanjang Januari dan Februari adalah seramai 2,328 orang.

“Manakala jumlah pengusiran sejak tahun 1990 adalah seramai 593,585 orang termasuk pengusiran melalui udara yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen melibatkan PATI dari lain-lain negara,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, kejayaan menangani PATI bergantung dengan peranan dan kerjasama daripada semua pihak.

“Tanggungjawab membanteras kebanjiran PATI bukanlah terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kerjasama daripada masyarakat juga amat perlu.

“Majikan tidak boleh menggaji pekerja PATI dan orang awam diminta agar tidak memberi perlindungan termasuk tempat tinggal kepada PATI,” ujarnya.