151 Orang Terima Bantuan BUDIMAN Sabah

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seramai 151 individu dipilih sebagai penerima bantuan Program Ziarah Kasi Ramadan-Diambang Syawal anjuran Pertubuhan Kebajikan Budiman Malaysia Negeri Sabah (BUDIMAN SABAH), di sini, baru-baru ini.

Pengarah Programnya, Ismail Awang, program yang diadakan selama lima hari itu bertujuan menyantuni golongan asnaf, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan mereka yang kurang berkemampuan di daerah ini.

“Malah golongan sasar kami turut membabitkan mereka yang terjejas dengan pandemik Covid-19 yang mana ada sebahagian daripada penerima terputus sumber pendapatan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

“Sumbangan diberikan dalam bentuk keperluan makanan seperti beras, gula, minyak masak, susu, tepung, mee, ketupat nasindan minuman sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi,” katanya.

Tambahnya, program tersebut adalah aktiviti tahunan dan kali kedua diadakan, mendapat sokongan Pejabat Timbalan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan Pertubuhan Kebajikan Anugerah Kasih Malaysia (PERKASIH).

“Bilangan penerima bantuan tahun ini, jauh lebih banyak berbanding 22 orang tahun lalu.

“Dengan bilangan itu selain lokasi yang berbeza, ia memberi cabaran kepada kami apatah lagi perlu mematuhi setiap prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya.