1,500 Penduduk Tulid Terjejas Akibat Lapan Jambatan Hanyut Dalam Banjir

2090

Oleh KEE HELMEY KEE ZAINAL
PENSIANGAN: Lebih 1,500 penduduk daripada enam buah kampung di mukim Tulid terputus hubungan akibat daripada lapan buah jambatan yang sedia ada di kampung tersebut roboh dalam banjir besar yang berlaku di Keningau dua hari lepas.

Antara kampung yang terlibat sepanjang jajaran Sungai Sook adalah Kampung Batu Lumagan, Kg Tulid, Kg Kindasan, Kg Kiulu, Kg Kipaliu dan Kg. Simpang Empat.

Penyelaras DAP Tulid, Robinson Rusikan ketika membuat lawatan dan tinjauan ke tempat kejadian, mendapati, kesemua jambatan di kampung terlibat tidak dapat di gunakan kerana rosak teruk.

“Tujuan lawatan saya hari ini (Sabtu) adalah untuk membuat tinjauan hasil dari aduan penduduk kampung yang mengadu terputus hubungan kerana jembatan yang menjadi laluan utama mereka musnah akibat banjir besar yang berlaku baru-baru ini,” katanya.

Menurut Robinson, selain digunakan sebagai penghubung, jambatan tersebut juga penting bagi penduduk kampung kerana ia merupakan laluan utama mereka untuk memunggah barang hasil tanaman dan perladangan.

Robinson meninjau keadaan di salah sebuah kampung dekat Sungai Sook.

Justeru itu, beliau mengharapkan ada satu tindakan yang drastik diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah ini.

Tindakan ini penting katanya, kerana selain jambatan tersebut amat penting juga untuk pihak kerajaan mengambil tahu perkara ini kerana bukan setakat perhubungan saja yang terjejas, malah turut melibatkan bantuan kemanusian dari segi bantuan asas makanan kepada 1500 penduduk yang terlibat.

Jambatan jalan utama di Kampung Tulid turut dihanyutkan kerana banjir. Jalan ini merupakan jalan masuk dan keluar ke Tulid. Lapan lagi jambatan gantung sepanjang jajaran Sungai Sook juga hanyut.