150 Peserta Sertai Kejohanan e-Sukan Telupid

Felix berucap merasmikan kejohanan di Dataran Telupid.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Musim cuti persekolahan ini digunakan sepenuhnya oleh pemimpin masyarakat untuk mendekati golongan remaja melalui penganjuran aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat kepada golongan itu dalam mengisi masa yang terluang.

Antara aktiviti yang menarik perhatian ialah program pertandingan e-Sukan yang menjadi trend di seluruh dunia ketika ini dan dianjurkan oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Beluran.

Ketuanya, Felix Saang berkata, Kejohanan e-Sukan Mobile Legends Bang Bang itu mendapat sambutan meriah apabila disertai 150 peserta yang berentap di Dataran Pekan Telupid Jumaat lalu.

Felix menerima borang keahlian menyertai UPKO daripada golongan remaja Telupid.

Dalam ucapan perasmiannya, Felix berkata, selain mengisi masa lapang remaja, permainan maya yang dijadikan e-Sukan perlu dimanfaatkan kerana terbukti boleh menjadi satu bidang kerjaya yang berbaloi serta perniagaan yang menguntungkan.

“Sukan ini merupakan satu fenomena yang boleh menjana pendapatan di mana terdapat lebih kurang 150 juta peminat e-Sukan sedunia yang melibatkan keuntungan besar oleh syarikat-syarikat besar.

“Kejohanan ini juga sekurang-kurangnya dapat mengisi masa terluang waktu cuti dengan aktiviti yang positif,” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Komulakan UPKO Beluran, Donysius Salati; Penyelia Kemajuan Masyarakat Labuk, Melton Martin dan Ketua Penerangan UPKO Bahagian Beluran, Mervin Enti serta pemimpin-pemimpin masyarakat daerah Telupid.

Johan pertandingan itu ialah pasukan Black Dragneel diikuti King of Fighter (kedua), SESB Gading (ketiga) dan Victorious (keempat).

Sementara itu, sempena kejohanan itu, Felix turut menerima kemasukkan 50 ahli UPKO baharu yang menyerahkan borang keahlian kepadanya.