15 PATI Menyorok Dalam Sebuah Rumah Ditahan Di Tawau

TAWAU: Taktik 15 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) menyorok dalam sebuah rumah sebaik sahaja tiba dari Indonesia berjaya dikesan pihak berkuasa.

Hasil risikan dan maklumat yang diperolehi, pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menyerbu rumah di Jalan Kuhara, Tawau pada 9.45 malam semalam dan berjaya menahan 15 orang PATI dan seorang warga tempatan.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua PATI itu ditahan menerusi serbuan Op Cegah Pati (OCP) Daratan yang dijalankan dengan kerjasama Rejimen ke-2 Angkatan Tentera Malaysia, Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tawau dan anggota Polis Tugas Am.

Ksemua yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dewasa, tiga wanita dan dua kanak-kanak berusia satu hingga 58 tahun. Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan. Kesemua PATI ditahan bersama barang-barang peribadi dan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua 15 PATI dan seorang lelaki warga tempatan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

“Kejayaan tangkapan itu adalah hasil usaha dan kerjasama erat agensi keselamatan dan masyarakat setempat dalam menggagalkan taktik PATI menggunakan lorong tikus untuk masuk negara ini secara haram,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) akan terus komited dalam menjalankan tugasan mengawal keselamatan sempadan negara bagi mengekang kemasukkan PATI ke Sabah dan sekaligus memutuskan rantaian wabak Covid-19 melalui Op Cegah PATI secara berterusan.