15 PATI Filipina Ditahan Di Perairan Lahad Datu

154

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Inter Agensi di Kampung Tong Batu Lok Damai, Pulau Sakar, di sini semalam.

Dalam operasi pukul 12.30 tengah hari itu, semua suspek yang ditahan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan secara bersama antara Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki, lima wanita dan seorang kanak-kanak berumur antara 3 hingga 50 tahun.

“Ketika ditahan suspek mengaku secara lisan berasal dari Filipina selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Sehubungan itu, semua PATI itu diserahkan kepada JIM untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Tambah Mohamad Pajeri, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini secara haram.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali dan tidak lebih enam kali sebatan.

“Operasi bersepadu antara PPM dan JIM ini bertujuan untuk membanteras kehadiran PATI di daerah tersebut khususnya, dan Sabah, amnya,” katanya.

Menurut Mohamad Pajeri, operasi seumpama itu akan diteruskan dari masa ke semasa khususnya sepanjang musim perayaan dan tahun baru dalam usaha mengekang kehadiran PATI ke negeri ini.

“Justeru, saya berharap, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan, pemantauan dan tangkapan dilakukan segera,” katanya.