15 Kes Dikesan Sepanjang SHMMP Hari Raya Puasa 2021

KOTA KINABALU: Sebanyak 15 kes atas pelbagai kesalahan dilakukan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021.

Daripada kes yang direkodkan itu sebanyak RM592.20 rampasan dilakukan dengan jumlah kompaun yang dikutip adalah RM1,950.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, kesemua kes itu direkodkan sejak pelaksanaan SHMMP yang bermula pada 21 April lalu hingga semalam.

Beliau berkata, sepanjang tempoh sama, KPDNHEP Sabah telah menjalankan sebanyak 2,623 pemeriksaan pematuhan SHMMP di seluruh Sabah.

“Antara kesalahan-kesalahan yang telah diambil tindakan adalah menjual barang kawalan musim perayaan dengan harga yang melebihi daripada harga yang dikawal sebanyak tiga kes, peniaga gagal menggunakan tanda harga khas (merah jambu) sebanyak empat kes dan kesalahan tidak meletakkan tanda harga sebanyak lapan kes.

“Semua tindakan kes terbabit telah diambil di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Georgie berkata, dari segi aduan, terdapat tiga aduan berkaitan harga telah diterima sejak SHMMP ini dilancarkan dan ketiga-tiga aduan tersebut telah disiasat dan diselesaikan.

Katanya, KPDNHEP melaksanakan SHMMP Hari Raya Puasa (HRP) 2021 sebagai langkah untuk mengawal kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang dijangka disambut pada 13 Mei ini.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 25 barangan disenaraikan sebagai barangan harga terkawal sempena SHMMP HRP 2021. Ia termasuk ayam hidup yang berharga RM6.7 sekilogram, ayam standard (RM9.70/kg), ayam super (RM10/kg), daging lembu tempatan (RM26.50/kg), daging kerbau import India (RM21/kg), telur ayam gred A (0.41 sen sebiji), telur ayam gred B (RM0.40 sen sebiji), telur ayam gred C (RM0.39 sen sebiji), ikan kembung termasuk ikan mabung (RM9/kg), ikan selayang (RM9/kg), tomato (RM6/kg), cili merah (14/kg), kubis bulat import (RM3.50/kg), timun (RM4/kg), halia tua (RM12/kg), terung panjang (RM8/kg), kelapa biji, kelapa parut (RM6/kg), bawang besar holland (RM6/kg), bawang putih (RM 8.50/kg), ubi kentang import (RM3.50/kg), cili kering (RM18/kg), kacang tanah (RM9/kg) dan demudok/sagai/cermin/cupak (RM15/kg).

SHMMP HRP 2021 Fasa kedua pula akan berkuatkuasa selama 15 hari bermula pada 6 sehingga 20 Mei.

Kementerian menjangka barang keperluan lain yang bersangkutan dengan HRP akan menerima permintaan tinggi menjelang 1 Syawal dan kemungkinan menerima tekanan dari sudut harga.