15 AJK, 500 ahli Bersatu Bahagian Kota Raja keluar parti

SHAH ALAM: Sebanyak 15 daripada 17 ahli jawatankuasa (AJK) dan 500 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Raja di Selangor mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, langkah 15 AJK itu tidak termasuk ketua bahagiannya, Wan Dzahanurin Ahmad dan Timbalan Ketua Cawangan Taman Sri Andalas 1, Shahril Othman.

Pengumuman keluar parti tersebut dibuat oleh jurucakap bahagian itu, Shahrul Hameed Abdul Wahab pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar daripada parti berkenaan serta-merta dan bergerak sebagai wakil rakyat Bebas.

Turut mengumumkan keluar parti adalah Ketua Bahagian Bersatu Klang Datuk Syed Abdillah Syed Abd Aziz.