149 Rakyat Indonesia Mati Dalam Tahanan, Tiada Penjelasan Terperinci KDN

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilihat tidak bertanggungjawab apabila tidak menjelaskan punca sebenar kematian kira-kira 140 orang rakyat Indonesia di pusat tahanan di Sabah.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan manusia boleh mati dimana-mana.

Jawapan sebegitu bukan cara untuk berhadapan dengan nyawa manusia daripada negara jiran.

Itu kata Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal ketika menyentuh soal pengurusan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Beliau berkata, sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, mereka memainkan isu PATI dengan berjanji akan mengusir keluar PATI daripada Sabah. Namun, selepas tiga tahun memerintah, tiada hasil yang boleh dibanggakan.

Malah, terdapat laporan menyatakan terdapat 149 rakyat Indonesia mati dalam pusat tahanan di Sabah. Perkara ini perlu penjelasan KDN.

“Perlu ada penjelasan kenapa situasi ini berlaku. Adakah pusat tahanan di Sabah tidak sesuai dengan keadaan orang tahanan di situ hingga menyebabkan rakyat negara jiran meninggal dunia.

“Maka, saya akan meminta penjelasan KDN pada sidang Parlimen akan datang. Jika benar kemudahan prasarana tidak sesuai bagi tahanan yang sakit, perlu ada penjelasan.

“Namun, saya tidak mahu membuat andaian tapi tiada penjelasan yang diberikan setakat ini,” ujarnya.

Sebelum ini portal berita Indonesia melaporkan, kira-kira 149 buruh warga Indonesia meninggal dunia dalam pusat tahanan Imigresen di Sabah bagi tempoh 2021 hingga Jun lalu.

Susulan itu, pihak pemerintah Indonesia disaran untuk membentuk badan petugas khas bagi memantau pekerja Indonesia yang berada di luar negeri.