1,200 Pekerja SFI Tuntut Bayaran Gaji Tertunggak 5 Bulan Diselesaikan Segera – Abd Aziz

SIPITANG: Sebuah Jawatankuasa Perundingan dan Penyelesaian perlu ditubuhkan bagi memastikan isu tunggakan gaji selama lima bulan membabitkan 1,200 pekerja Sabah Forest Industries (SFI), dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Abd Aziz Taip berkata kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bertindak segera dan bukan hanya pandai menabur janji yang akhirnya tidak dapat ditunaikan.

Katanya, Hajiji perlu tampil berbincang serta menerangkan kepada semua pekerja SFI yang terjejas mengenai perancangan terhadap nasib pekerja terbabit.

“Pastinya pekerja SFI ingin minta penjelasan berkaitan dana RM130 juta dinyatakan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

“Mereka pastinya akan menuntut tunggakan bayaran gaji tertunggak selama lima bulan serta saguhati dijanjikan sebelum Hari Krismas 2022 lalu serta status perancangan kerajaan GRS terhadap nasib kakitangan SFI ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau diminta mengulas berkaitan satu demonstrasi aman membabitkan pekerja SFI di sini, semalam.

Abd Aziz yang juga Ketua Bahagian Warisan Sipitang berkata, pekerja SFI juga ingin mendapatkan penjelasan berhubung perancangan untuk pengambilan bekerja semula di bawah ‘sustainable forest timber utilisation, processing, management, conservation research and development scheme’ seperti dinyatakan tahun lalu.

“Kita mahu Hajiji juga memberikan penjelasan berkaitan kawasan kayu balak seluas 200,000 hektar atau kira-kira 500,000 ekar milik SFI di Sipitang samada sudah diambil semula oleh kerajaan negeri atau sebaliknya.

“Adakah benar kawasan kayu balak berkenaan telah dianugerahkan sebagai konsesi pembalakan kepada beberapa syarikat….Kami perlu penjelasan segera daripada Hajiji bersama kepimpinan GRS,” katanya.

Menurutnya, jika benar sudah dianugerahkan, siapa pemilik syarikat tersebut dan berapa lama tempoh konsesi diberikan.

“Persoalan ini pernah dibangkitkan tetapi tidak mendapat maklumbalas daripada kerajaan GRS. Kita ingin bertanya di mana ketelusan serta keberanian Hajiji untuk memberikan pencerahan berhubung perkara ini,” katanya.