12 Premis Di Lahad Datu Ditutup Langgar SOP

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Padah gagal mematuhi prosedur operasi standart (SOP) perniagaan sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), 12 premis diarahkan tutup serta-merta dalam Ops Pematuhan SOP, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, jumlah itu membabit tujuh kedai runcit dan lima restoran.

“Terdahulu, dalam operasi yang dilakukan pada jam 8 pagi hingga 5 petang tadi, sebanyak 110 premis perniagaan di sekitar daerah ini diperiksa bagi memastikan pematuhan SOP dilakukan.

“Bagaimanapun, 12 daripadanya dikesan melakukan beberapa kesalahan berkaitan,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Tambahnya, tiada sebarang kompaun dikeluarkan pihaknya, namun, semua 12 premis tersebut diarahkan tutup serta-merta.

“Terdapat lima SOP operasi premis yang ditetapkan sempena tempoh PKPB iaitu penjarakan sosial, penyediaan pensanitasi tangan atau sabun disinki, pelitup muka, pengambilan suhu dan buku catatan.

“Justeru, 12 premis terbabit dikesan gagal mematuhi satu atau lebih daripada lima SOP tersebut,” katanya.

Menurut Nasri, selain polis, operasi tersebut turut dilakukan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).