1,111 Cawangan Warisan Dibenarkan ROS

Loretto Padua, dua kanan, bersama Shafie Apdal, Terrence Siambun dan Arifin Asgali.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) melebarkan sayapnya ke seluruh pelusuk negeri selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membenarkan penubuhan sebanyak 1,111 cawangan baharu.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Junior berkata, perkara tersebut dimaklumkan melalui surat daripada ROS kepadanya.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 3,700 cawangan Warisan yang dipohon sebelum ini dan dijangka semuanya akan dibenarkan dalam tempoh Oktober, November dan Disember tahun ini.

“Mesyuarat penaja cawangan hendaklah diadakan dengan segera memandangkan ROS telah memberikan tempoh masa 90 hari untuk menghantar semua minit-minit mesyuarat ke ibu pejabat ROS di Putrajaya.

“Kegagalan untuk mengadakan mesyuarat dalam tempoh masa tersebut menyebabkan permohonan tersebut luput,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loretto berkata, setiap bahagian perlu memberi kerjasama memaklumkan kepada semua pemohon untuk memastikan supaya mesyuarat dapat diadakan dengan tertib dan mengikut peraturan.

Loretto berkata, pendaftaran cawangan adalah suatu proses yang berterusan, namun kawalan perlu diadakan kerana apa yang penting cawang-cawangan yang ditubuhkan dapat menyumbang bukan sahaja kepada parti tetapi berkhidmat kepada ahli akar umbi bukan menjadi tidak aktif.

Sehubungan itu katanya, ahli-ahli diminta bersabar kerana proses kebenaran dan kelulusan penubuhan cawangan dilakukan di ibu pejabat ROS Putrajaya dan jabatan itu telah memberikan kerjasama yang sewajarnya.

“Selepas 3,700 buah cawangan ini selesai diproses, barulah cawangan-cawangan yang baru dipohon akan diproses,” katanya.

(Visited 1 times, 1 visits today)