11 Penagih Ditahan Di Telipok

88
Beberapa suspek yang ditahan diperiksa dalam Op Sarang Narkotik di Telipok hari ini.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Operasi membanteras penyalahgunaan dadah oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berhasil apabila 11 penagih ditahan di Skim Penempatan Telipok hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, Op Sarang Narkotik tersebut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD di penempatan itu selama empat jam bermula pukul 10 pagi ini.

“Hasilnya polis menahan sebanyak 27 lelaki dan seorang wanita yang dibawa ke Balai Polis Telipok untuk ujian saringan air kencing.

Suspek yang didapati positif mengambil bahan terlarang dibawa ke IPD KK menggunakan trak polis.

“Daripada jumlah yang ditahan itu, sebanyak 11 lelaki didapati positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan berusia 20-an hingga 50-an telah dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut.

Katanya, dua lelaki disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sembilan yang lain mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Ujian air kencing dilakukan ke atas suspek-suspek yang ditahan dalam Op Sarang Narkotik hari ini.

Sementara itu, wartawan yang turut berada di lokasi mendapati beberapa suspek yang ditahan bukan berasal di situ sebaliknya mereka dipercayai baru sampai untuk membeli bahan terlarang itu.

Seorang suspek menaiki motosikal juga didapati melakukan pusingan U sebaik sahaja melihat kehadiran anggota polis, namun pemuda tersebut gagal melarikan diri kerana kawasan berkenaan telah dikepung.

Habibi berkata, pihak polis akan terus melakukan operasi dari masa ke semasa bagi membanteras aktiviti berkaitan dadah kerana kesan buruknya ke atas masyarakat.

Salah seorang suspek yang ditahan diiringi anggota polis dan Rela.

“Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah sekitar daerah ini sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Kita juga berharap masyarakat akan terus bekerjasama menyalurkan maklumat serta sentiasa membantu pasukan polis dalam membanteras masalah dadah di daerah ini,” katanya.