11 Nelayan Vietnam Ceroboh Perairan Sandakan Ditahan

SANDAKAN : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan 11 nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Pulau Langkayan, di sini, pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Ariffin berkata bertindak atas maklumat awam dan tindakan susulan Unit Risikan Marin, Polis Marin Sandakan telah merangka operasi membanteras pencerobohan nelayan berkenaan di perairan Utara Pulau Langkayan.

Katanya seramai 11 juragan dan awak-awak di 2 kapal nelayan Vietnam, ditahan.

Pemeriksaan awal mendapati kesemua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan tidak mempunyai kebenaran atau permit dari Jabatan Perikanan Malaysia bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Tangkapan ini melibatkan rampasan 2 buah kapal, 8 set peralatan menangkap gamat dan gamat yang disimpan dalam beberapa buah tong.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.873 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, juragan kapal nelayan terbabit telah melakukan kesalahan mengikut seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang.

Kru kapal juga boleh didenda RM100,000 setiap seorang.

Nelayan terbabit juga boleh dikenakan tindakan mengikut
seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan perikanan yang tidak dilesenkan.

Atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, juragan serta kru kapal juga boleh didakwa mengikut seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“PPM Wilayah 4 Sabah tidak akan berkompromi dan akan memerangi jenayah rentas sempadan,” katanya.

Sehubungan itu, masyarakat diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan kepada PPM Wilayah 4 Sabah di talian Gerakan PPM IPK Sabah 013-9391197 atau 089-221453.