11 Lelaki Ditahan, 125 Karton Rokok Dirampas

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seramai 11 lelaki ditahan dan 125 karton rokok dirampas dalam Operasi Bersepadu menangani kegiatan penjualan rokok dan aktiviti penyalahgunaan dadah di Pekan Inanam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam Operasi Bersepadu yang disertai kira-kira 100 orang anggota keselamatan daripada pelbagai agensi itu, seramai 11 orang lelaki ditangkap.

“Daripada jumlah itu, empat orang memiliki syabu seberat 2gm, dua daripadanya pula positif ujian air kencing serta seorang lelaki ditahan dengan rokok sebanyak 125 karton yang bernilai RM3,000,” katanya ketika Operasi Bersepadu di Pekan Inanam.

Beliau berharap orang ramai akan terus memberi kerjasama dan maklumat mengenai kegiatan penjualan rokok dan penyalahgunaan dadah sekitar kawasan ini.

Habibi berkata, operasi yang sama turut diadakan di Kampung Air. Operasi sebegitu akan diteruskan sehingga kes sifar.

Operasi ini diketuai oleh PDRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia cawangan Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurutnya, penjualan rokok ini boleh dikatakan banyak namun tidak kritikal.

“Maklumat daripada masyarakat setempat amat penting kerana apabila polis datang, penjual ini akan lari dan datang semula apabila polis sudah tiada,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam memantau kawasan Pekan Inanam ini, Op Payung dibuka dan anggota polis ditempatkan di situ selama 24 jam.