11 Kampung Di Labuan Ditenggelami Air Susulan Hujan Lebat

LABUAN: Sekurang-kurangnya 11 buah kampung dan satu kawasan perumahan di pulau bebas cukai ini ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan sejak 6 petang semalam hingga awal hari ini, menyebabkan 23 orang dipindahkan.

Ketua kampung dan majlis perwakilan penduduk terbabit melaporkan lebih 10 buah rumah ditenggelami air hingga paras pinggang dengan kampung yang terlibat ialah Kilan, Sungai Buton, Kampung Sungai Miri, Bebuloh Darat, Batu Manikar dan Lubuk Temiang.

Turut terjejas ialah kampung Ganggarak, Merinding, Rancha-Rancha Darat, Gersik dan Saguking, sementara kawasan perumahan yang terlibat ialah Taman Mahkota Impian.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Rithuan Ismail berkata daripada jumlah yang dipindahkan, 19 orang ditempatkan di Balai Bomba Layangan sementara baki menumpang di rumah saudara-mara mereka.

Katanya kejadian banjir kilat itu mungkin disebabkan longkang yang tersumbat.