11 CSI, 20 Syarikat Mengambil Penghuni Penjara Bekerja

KOTA KINABALU: Sebanyak 11 syarikat Corporate Smart Internship (CSI) dan 20 syarikat kecil menyediakan peluang pekerjaan kepada penghuni yang sedang menjalani sistem parol.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, usaha sebegitu akan menyokong program pemulihan di luar tembok sebagai langkah permulaan untuk penghuni memulakan kehidupan baharu.

Beliau berkata, progam usahasama sebegitu telah menampakkan hasil sekali gus mengurangkan stigma masyarakat bahawa bekas penghuni penjara tidak mampu berubah

“Kita berharap agar lebih ramai lagi bekas banduan yang berjaya pada masa akan datang.

“Malah, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian sentiasa bersedia membantu dari segi khidmat bimbingan kepada bekas penghuni untuk memulakan perniagaan sebagai usahawan,” katanya semasa merasmikan Program Outreach KJP bersama CSI dan majikan di sini kelmarin.

Katanya, penglibatan semua pihak secara holistik akan berusaha membuka peluang-peluang pekerjaan dalam kalangan bekas penghuni penjara bermula daripada agensi-agensi di bawah kementeriannya.

“Memandangkan semua penghuni penjara yang bakal menyertai sistem parol dan pembebasan berlesen merupakan warga Malaysia maka, saya akan berusaha agar pihak syarikat memberi keutamaan kepada mereka dari segi peluang pekerjaan.

“Langkah sebegini akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing,” ujarnya.

Menurutnya, Sabah melepaskan lebih kurang seramai 3,885 penghuni daripada tembok penjara ke dalam komuniti sejak Sistem Parol dilaksanakan pada 2008.

“Saya amat teruja dan tertarik dengan pendekatan Jabatan Penjara Malaysia untuk mengurangkan kos perbelanjaan menjaga dan mengawal penghuni dalam penjara serta mengurangkan kesesakan iaitu melalui sistem parol dan menambahbaik dengan melibatkan syarikat-syarikat korporat.

“Saya difahamkan majikan di Sabah menawarkan gaji sehingga RM3000 sebulan kepada penghuni yang bekerja di bawah sistem parol,” katanya.

Dalam pada itu, Joachim turut mengesyorkan agar hasil kerja tangan bengkel atau produk makanan oleh penghuni penjara dijual setiap hari di pusat-pusat Industri kecil Sederhana (IKS) yang berdekatan institusi penjara.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yassin dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.