11 Cawangan UMNO Di Binsulok Tutup, 614 Ahli Masuk Warisan

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
MEMBAKUT: Parti Warisan Sabah (Warisan) terus mendapat kepercayaan daripada rakyat Kimanis apabila seramai 614 ahli UMNO daripada 11 cawangan di Binsulok mengisytiharkan keluar parti untuk bersama Warisan.

Kesemua borang keahlian mereka untuk menyertai Warisan diserahkan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam Majlis Santai Bersama Presiden Warisan di Binsulok petang ini.

Berikutan kemasukkan beramai-ramai itu, sebanyak 11 cawangan UMNO di Binsulok ditutup iaitu Sri Binsulok, Cahaya Bintang Terang Kuala Lama, Sri Tutong, Kampung Sungai Terajun Tengah,  Generasi Pengiran, Asam Jawa Ulu Binsulok dan Danau Sibangok.

Turut ditutup ialah cawangan UMNO di Kuala Lama Binsulok, Sungai Pandan, Sri Seberang Binsulok dan Zon 2 Kampung Likas.

LATIF OSMAN

Latif Osman, 60, dari cawangan Sri Binsulok berkata, kemasukkan mereka ke dalam Warisan adalah secara ikhlas  kerana menyedari parti itu adalah pemerintah Sabah sekarang, justeru demi kebaikan rakyat Binsulok mereka perlu berubah menyokong kerajaan.

“Saya dan rakan-rakan daripada cawangan UMNO  di Binsuluk seramai tujuh cawangan yang  rela, reda, tanpa paksaan , kami memasuki Warisan dengan penuh perasaan, penuh keyakinan di mana parti inilah yang dapat kita bersama dengan Warisan di negeri Sabah sendiri dan kami, seterusnya rakyat di Binsuluk, sudah mengambil iktibar  di mana inilah yang harus kita ikut  tanpa ragu-ragu dan tanpa disegani lagi.

“Ini adalah, kita dalam pilihan raya kecil  kita akan buktikan  kemenangan Warisan  yang kita undi yang berbahagia Datuk Karim Bujang (calon Warisan) di mana beliau ini pun tidak dapat dinafikan adalah salah seorang yang bermastautin di Binsuluk ini,” katanya.

DATU AWANG KUTAMIAN

Sementara itu, Datu Awang Kutamian Pengiran Hassan berkata, dia dan semua ahli UMNO yang memasuki Warisan akan memastikan calon parti itu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis untuk kebaikan rakyat di kawasan itu.

Katanya, masih banyak lagi pembangunan diperlukan penduduk Binsulok, justeru hanya dengan bersama kerajaan barulah setiap yang dirancang untuk membangunkan kampung berkenaan dapat ditunaikan.

“Kami berharap pemumpin akan datang  dipimpn oleh  yang berbahagia Datuk Karim Bujang  akan membawa lebih banyak perubahan dan  lebih banyak pembangunan yang  akan dibawa ke Binsuluk  terutama sekali apa yang saya tahu, hari ini  sekolah kami uzur  selama ini tidak dipedulikan.

“Jadi saya berharap Binsuluk akan  mempunyai sekolah yang baharu , tapak yang baharu untuk dinikmati oleh rakyat Binsuluk dan saya juga mahu  nelayan akan dibina, yang hari ini, nelayan di Binsuluk jauh ketinggalan jadi kerajaan akan dapat membantu nelayan ini supaya  setanding dengan kampung-kampung lain dan juga jambatan yang ada pada hari ini dapat diperbaiki  supaya rakyat Binsuluk ini dapat menikmatinya,” katanya.