107 PATI Indonesia Dihantar Pulang

TAWAU :107 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia dihantar pulang ke negara asal dari Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan kapal
MID EAST EXPRESS NO.1, semalam.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata proses penghantaran pulang PATI berkenaan dilaksanakan melalui Program Pemindahan Tahanan PATI siri 2 untuk kategori usir melalui laut bagi tahun ini.

Katanya program ini melibatkan pemindahan 107 tahanan warganegara Indonesia daripada Depot Imigresen Tawau dan Depot Imigresen Sandakan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia.

PATI yang diusir semalam terdiri 96 lelaki dan 11 wanita berusia antara 14 tahun hingga 63 tahun.

“PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau mengingatkan semua warga asing untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di negara ini terlebih dahulu
sebelum masuk ke Malaysia.

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi Pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM ) negeri Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Sabah,” katanya.