101 Pelajar SMK Sandakan Dikesan Positif COVID-19

SANDAKAN: Seramai 101 pelajar dari asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan yang dijangkiti Covid-19 kini ditempatkan di pusat kuarantin Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih.

Penyelaras Pusat Kuarantin PPR Batu Putih, Kepten Abdullah Sabaruddin berkata semua pelajar berkenaan dimasukkan ke pusat itu sejak Selasa yang merangkumi 61 lelaki dan 40 perempuan.

Beliau berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) itu sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan pesakit di samping, mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) semasa mereka ditempatkan di PKRC tersebut.

Katanya, petugas terlatih juga sentiasa bersedia menerima kemasukan kontak-kontak rapat Covid-19.

Sebelum ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan dua kluster melibatkan institusi pendidikan telah dikesan di Sabah.

Dua kluster sebelum ini melibatkan pelajar asrama SMK Tambunan dan SMK Ranau dan semalam, kluster ketiga dikesan membabitkan pelajar asrama SMK Sandakan.

Sehingga semalam, 35 pelajar asrama SMK Tambunan dilaporkan positif dan tujuh pelajar SMK Ranau dikesan positif.