100,000 Dijangka Hadir Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Di Sabah

232
Kamarul Baharin (empat kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Shafie, sambil diiringi delegasi Jabatan Muzium Malaysia.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi menjadi tuan rumah penganjuran sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) buat kali ketiga selepas penganjuran terakhir pada sembilan tahun lalu.

Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, sambutan yang akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk sukan tradisional ini dijangka akan dihadiri kira-kira 100,000 orang pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Induk HMA peringkat Kebangsaan 2019 ini berkata, program ini akan diadakan bermula 15 hingga 20 Julai. Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi di perkarangan Muzium Negeri Sabah pada 15 Julai.

Beliau berkata, hampir semua muzium di Malaysia terlibat dalam sambutan HMA yang akan turut disertai Muzium Kapuas Raya, Kalimantan. Pada masa ini terdapat 230 buah muzium di seluruh Malaysia.

“Sambutan HMA 2019 kali ini bertemakan ‘Muzium sebagai Hab Kebudayaan: Masa Depan Tradisi’.

“Antara pengisian program adalah treasure hunt, cabutan bertuah, larian marathon 10km, pertandingan golf amal, sukan tradisional, bengkel kebudayaan tarian sumazau, karnival, seminar serta pameran,” katanya kepada media selepas mengadakan Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Selasa.

Turut diadakan adalah bicara santai bersama Ustaz Kazim Elias serta Program Muzium bersama Komuniti di Kampung Benoni, Papar.

Sepanjang sambutan HMA ini, Muzium Negeri Sabah akan beroperasi dari 9 pagi hingga 10 malam.

(Kiri-Kanan) Su Chin,Arif dan Kamarul Baharin ketika mengadakan kunjungan kepada Ketua Menteri, di sini pada Selasa.

Dalam kunjungan itu, Ketua Menteri turut menyarankan agar Muzium Sabah memainkan peranan menyokong industri pelancongan melalui khazanah yang terdapat di Sabah.

Ditanya mengenai jumlah orang yang berkunjung ke muzium seluruh Malaysia, terdapat 3.2juta orang berkunjung ke muzium dibawah kendalian Jabatan Muzium Malaysia pada tahun lalu. Manakala, dibawah Persatuan Muzium Malaysia pula seramai 7juta pengunjung direkodkan pada tempoh yang sama.

“Untuk Sabah, seramai 700,000 pengunjung direkodkan pada tahun lalu. Jumlah kehadiran pengunjung tu memperlihatkan kewujudan muzium di Malaysia masih relevan kepada masyarakat.

“Malah setiap tahun berlaku pertambahan lima buah muzium baharu yang ditubuhkan oleh agensi kerajaan dan swasta,” jelasnya.

Turut hadir adalah Pengarah Muzium Sabah Arif Abd Hamid dan Timbalan Pengarah Muzium Sabah Su Chin Sidih.