10,000 Orang Banjiri Kompleks Sukan Keningau Perasmian SAGA IX

KENINGAU: Pekarangan Kompleks Sukan Keningau dibanjiri hampir 10,000 orang atlet, pegawai pengiring serta orang awam bagi menyaksikan Majlis Perasmian Sukan Sabah Kesembilan (SAGA IX) 2019.

Biarpun hujan membasahi bumi Keningau namun, acara perasmian berlangsung dengan meriah dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Ketua Menteri yang hadir dengan berpakaian sukan diiringi oleh Menteri Belia & Sukan Phoong Jin Zhe.

Majlis perasmian itu dimulakan dengan perarakan masuk 27 kontinjen yang mewakili 27 daerah dengan membabitkan 4,511 atlet.

Acara lain yang turut diadakan adalah penampilan maskot SAGA IX iaitu Matulai, upacara penyerahan dan menaikkan bendera SAGA IX oleh anggota polis, acara membawa masuk obor oleh lima atlet, upacara melafaz ikrar serta penyampaian cenderahati kepada ketua-ketua kontinjen.

SAGA IX yang berlangsung bermula dari 7 hingga 13 Disember ini memperlihatkan 21 acara sukan dipertandingkan.