1,000 Pekerjaan Diwujudkan Dengan Pembukaan Restoran Baharu McDonald

524
(Kiri-Kanan) Pengarah Pembangunan Gerbang Alaf Restaurants Syed Redza Algadrie, Azmir dan Konsultan Perhubungan Kerajaan Gerbang Alaf Restaurants Datuk Mohammed Nasir ketika menemui Ketua Menteri ketika mengadakan Kunjungan Hormat di Pejabat Ketua Menteri di PPNS, pada Selasa.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Syarikat peneraju makanan segera McDonald Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd merancang untuk membuka 14 hingga 18 buah restoran baharu di Sabah dalam tempoh empat tahun akan datang.

Pengarah Urusan (Rakan Operasi) Gerbang Alaf Malaysia Sdn Bhd Azmir Jaafar berkata, pembukaan cawangan baharu itu akan membolehkan mereka mencapai sasaran untuk membuka 30 cawangan restoran di Sabah.

Pada ketika ini, Sabah mempunyai 13 buah cawangan termasuk 10 yang dikendalikan Gerbang Alaf dan tiga lagi oleh syarikat francais tempatan.

Beliau berkata, pembukaan cawangan baharu yang memerlukan perbelanjaan RM100juta itu dijangka akan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan Sabah.

“Kami sedang membina restoran di Semporna yang dijangka akan dibuka pada hujung tahun ini dan ia akan mewujudkan 70 peluang pekerjaan.

“Pembinaan restoran di Keningau juga dijangka dibuka pada tahun ini,” katanya ketika sidang media selepas kunjungan Hhormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah di sini pada Selasa.

Menurutnya, Ketua Menteri amat menghargai pelaburan yang dibawa masuk ke Sabah ini terutama dalam mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak-anak Sabah.

(Kiri-Kanan) Pengarah Pembangunan Gerbang Alaf Restaurants Syed Redza Algadrie, Azmir dan Konsultan Perhubungan Kerajaan Gerbang Alaf Restaurants Datuk Mohammed Nasir ketika Sidang Media berkenaan.

Azmir berkata, melihat potensi yang ada di Sabah, syarikat itu akan terus melakukan pelaburan di negeri ini.

“Untuk makluman, semua kakitangan McDonald di Sabah terdiri daripada anak-anak tempatan Sabah. Malah, ada juga anak-anak Sabah yang terdiri daripada golongan asnaf yang dibawa untuk bekerja di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.