1,000 Anak Muda Berentap Dalam Pertandingan PUBG, ML Anjuran Wira Warisan

Pertandingan PUBG dan ML yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM10,000.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Selari dengan perkembangan sukan maya atau E-Sport yang kini menjadi kegilaan golongan muda dan turut mampu menjana pendapatan lumayan, Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) mengambil insiatif menganjurkan pertandingan Player Unknown Battleground (PUBG) dan Mobile Legend Bang Bang.

Pertandingan dkenali sebagai Stay Safe Kaamatan Raya E-Sport Championship yang disertai 1,056 peserta berumur antara 9 hingga 34 tahun itu bukan sahaja bertujuan mengasah bakat dalam bidang sukan berkenaan malah turut mempromosi saranan kerajaan untuk duduk di rumah bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Bendahari Wira Warisan, Mohd. Nazil Mohd. Lan berkata, idea menganjurkan pertandingan tersebut timbul bagi mengisi masa lapang golongan remaja secara bermanfaat terutama sepanjang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan yang disambut di negeri ini.

    (Dari kiri) Redmond, Mohd. Nazir dan Abdul Kadir.

“Sebab kita tahu musim perayaan pada masa kali ini agak berbeza musim perayaan sebelum ini sebab kita tidak boleh berkumpul bersama ahli keluarga, oleh sebab itu kami daripada parti Warisan mengambil inisiatif ini mengadakan program membolehkan anak-anak muda berkumpul di arena maya untuk bermain game.

“Jadi ada dua game yang telah kita anjurkan iaitu PUBG dan Mobile Legend, kedua-dua game ini dimainkan melalui telefon bimbit sahaja jadi semua pemain tidak perlu datang ke mana-mana tempat, duduk di rumah sahaja main game,” katanya dalam sidang akhbar malam tadi.

Hadir sama ialah Naib Ketua Wira Warisan, Abdul Kadir Jalani dan Ketua Pegawai Eksekutif R Legacy E-Sport Sdn. Bhd. yang merupakan penganjur bersama pertandingan, Redmond Radiman.

Pegawai teknikal meninjau kelancaran pertandingan yang sedang berlangsung.

Pertandingan tersebut boleh ditonton di laman Facebook rasmi Biro Penerangan Wira iaitu www.facebook.com/biropeneranganwirasabah/ dan Facebook R Legacy E-Sport setiap hari bermula pukul 9 malam.

Semua peserta dihadkan kepada rakyat Sabah sahaja sama ada yang berada di Semenanjung atau di negeri ini dengan tawaran hadiah keseluruhan sebanyak RM10,000.

Mohd. Nazil berkata, pertandingan itu telah bermula pada 25 Mei lalu di peringkat kelayakan manakala pasukan yang berjaya layak ke perlawanan akhir akan berentap pada Ahad ini.

Menurutnya, bagi setiap peserta, pertandingan tersebut bukan sekadar membuka peluang untuk mereka memenangi wang tunai sebaliknya menjadi paltform untuk mencipta nama pasukan masing-masing dan bagi merebut peluang yang lebih tinggi di arena E-Sport negara.

“Hadiah yang ditawarkan jumlah hadiah RM10,000, johan RM2,000, naib johan RM1,000 dan ketiga RM500 jadi kita mahu lebih banyak pemain mendapat hadiah yang ditawarkan.

“Pemain ini semua mereka sebenarnya tidak mensasarkan hadiah sahaja apa yang dicari ialah nama, sebab dalam arena sukan ini kalau orang tahu mereka menang pertandingan yang kita anjurkan lagi naik saham,” katanya.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata, Wira Warisan menyimpan visi membangunkan sukan E-Sport di Sabah dengan penganjuran pertandingan seperti itu dan diharap dapat mencungkil bakat-bakat muda untuk mewakili Sabah pada masa akan datang.

“Untuk E-Sport kita mahu mencungkil bakat muda yang ada di Sabah tengok sahaja daripada penyertaan kita pun tidak sangka sampai angka ribu yang menyertai jadi untuk di masa-masa akan datang kami akan meneruskan sebab saya difahamkan selepas ini kita akan anjurkan lagi pertandingan E-Sport iaitu Dota 2.

“Kita teruskan pertandingan supaya sukan E-Sport ini belia-belia Sabah tidak ketinggalan, mengikut perancangan kami apabila juara itu dinobatkan ada juga perancangan kami memberikan latihan khusus untuk mereka untuk kita mungkin jadikan team juara sebagai wakil negeri,” katanya.