100 Peserta Dijangka Menyertai Konvoi Bersih Sabah Sabtu Ini

913

bebas

KOTA KINABALU – Jawatankuasa Pemandu Bersih Sabah (BS) akan memulakan konvoi pada Sabtu ini bersamaan dengan 1 Oktober 2016 di Bandar Leetat Jaya, Sandakan pada jam 9 pagi. Obor Bersih 5 turut akan dinyalakan sebagai satu simbolik permulaan acara tersebut.

Seramai 100 peserta terdiri daripada anggota parti politik, NGO dan orang perseorangan dijangka akan menyertai konvoi ini di lokasi permulaan, demikian dikatakan oleh Sekretariat Bersih Sabah 2016 dalam satu siaran akhbar hari Jumaat,

BS akan berhenti di beberapa lokasi strategik untuk sesi penerangan dan pengedaran risalah kesedaran tentang Bersih 5 yang akan diadakan pada 19 November di Kota Kinabalu nanti.

“Konvoi BS pada Sabtu akan berakhir di Semporna di mana pelbagai program telah diatur termasuk perjumpaan dengan beberapa badan NGO dan majlis santai bersama penduduk di sana nanti,” tambah siaran akhbar itu.

Pasukan konvoi BS dijangka akan berhenti di beberapa lagi lokasi dalam perjalanan balik ke Kota Kinabalu pada hari berikutnya.

Apa yang menarik, BS akan membawa Petisyen Kebenaran Dari Rakyat Sabah untuk membenarkan Padang Merdeka digunakan sebagai lokasi kemuncak finalé Bersih 5 pada 19 November kelak.

BS menyasarkan sejumlah 5,000 tandatangan daripada penduduk Sabah yang merupakan pemilik mutlak kepada setiap kawasan awam di seluruh negeri. Dewan Bandaraya Kota Kinabalu adalah penjaga dan bukan pemilik kawasan awam seperti yang berulang kali didakwa oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 5 Sabah amat berkeyakinan bahawa sasaran 5,000 tandatangan akan berjaya dikutip sepanjang konvoi ini terutama dari penduduk di Kota Kinabalu.

Petisyen tersebut seterusnya akan diserahkan kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin untuk dipertimbangkan dengan sewajarnya.

BS berpendapat bahawa rakyat negeri ini harus diberi hak untuk menggunakan Padang Merdeka sebagai tempat untuk berhimpun secara aman dalam mengutarakan isu-isu yang berkaitan dengan tuntutan Bersih 5.

Kerajaan negeri Sabah harus mengambil ikhtibar dengan menggunakan perhimpunan aman ini sebagai satu pentas terbaik mendengar rintihan rakyat secara dekat. Dengarlah keluhan rakyat marhaen yang impikan perubahan positif dalam sistem pentadbiran kerajaan sekarang demi masa depan bersama.

BS ingin menegaskan bahawa Perhimpunan Aman Bersih 5 Kota Kinabalu (B5KK) akan menjadi satu platform penyatuan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama tanpa mengenal fahaman politik. Perhimpunan ini bukan bertujuan untuk menggulingkan kerajaan seperti didakwa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawap.

Secara keseluruhannya BS yakin Konvoi Bersih 5 Sabah ini akan berjalan dengan lancar dan aman kerana kami yakin rakyat Sabah akan lebih bersifat terbuka dan cintakan kedamian dalam kehidupan seharian.

BS hadir ke kawasan anda bukan untuk mengancam atau berniat untuk menimbulkan sebarang masalah. Kami hanya ingin menyuarakan 5 tuntutan kami bersama dengan rakyat yang prihatin demi untuk Memartabatkan Hak Urang Sabah.