100 Peratus Pekerja Divaksin, Ladang Boleh Beroperasi Sepenuhnya

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk membeli vaksin Covid-19 sendiri bagi menampung kekurangan bekalan sebagai langkah mempercepatkan pencapaian imuniti berkelompok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri akan mula meminta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membeli vaksin bagi kegunaan kakitangan mereka dan disumbangkan kepada orang awam.

“Kerajaan negeri melalui GLC bersedia membeli vaksin sekiranya terdapat kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperolehi vaksin dengan kadar segera.

“Perbelanjaan membeli vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazim dibayar oleh GLC kepada kerajaan negeri setiap tahun.

“Disamping itu, syarikat-syarikat swasta seperti syarikat perladangan juga digalakkan untuk melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membeli vaksin untuk pekerja masing-masing.

“Kita sedia maklum sebahagian besar atau 80 peratus pekerja ladang adalah pekerja warga asing dan usaha memberikan vaksin kepada pekerja ladang ini akan membantu kerajaan mencapai imuniti berkelompok dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masidi berkata, kerajaan negeri juga bersedia mempertimbangkan untuk membenarkan ladang-ladang besar untuk memberi vaksin kepada 100 peratus pekerja termasuk keluarga untuk beroperasi semula dengan kapasiti tenaga 100 peratus.

Ketika ini, 42 peratus penduduk Sabah sudah menerima satu dos vaksin dan 18.1 peratus menerima dua dos vaksin yang lengkap.

Bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dalam komuniti, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin mengesyorkan kerajaan untuk meningkatkan peratusan vaksinasi  dalam kalangan penduduk.

Tambahnya, Dr. Rose Nani juga memaklumkan bekalan vaksin yang dihantar ke Sabah adalah mencukupi dan Sabah dijadualkan menerima 1.5 juta dos vaksin pada bulan ini. Bekalan tersebut sudah mula diterima secara berperingkat sejak minggu lalu.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, Qhazanah Sabah Sdn Bhd juga dilantik oleh Pharmaniaga Bhd sebagai wakil penjualan vaksin Sinovac di Sabah.

“Pharmaniaga memunyai kemudahan penyimpanan vaksin Sinovac di Kota Kinabalu dan kapasiti pengeluaran di Kuala Lumpur ialah 4 juta dos sebulan.

“Oleh itu, syarikat-syarikat yg berhasrat untuk membeli sendiri vaksin untuk pekerja-pekerja mereka boleh menghubungi Qhazanah Sabah.

“Cadangan menggalakkan syarikat-syarikat besar membeli vaksin untuk pekerja-pekerja mereka sebagai usaha mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok,” ujarnya.

Masidi berkata, langkah itu juga akan membolehkan syarikat-syarikat itu beroperasi dengan kapasiti penuh apabila semua pekerjanya lengkap diberi vaksin.

Beliau berkata, usaha ini akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri Sabah.