10 Pemancing, Dua Kru Dan Seorang Tekong Ditemui Selamat

Kapal yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing sejak Jumaat lalu, ditemui selamat hari Isnin.
Kapal yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing sejak Jumaat lalu, ditemui selamat hari Isnin.

KOTA KINABALU – Sepuluh pemancing bersama dua kru dan seorang tekong bot yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing sejak Jumaat lalu, ditemui selamat hari Isnin.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu kenyataan berkata pasukan penyelamat menemui mereka kira-kira 25 batu nautika barat laut dari Pulau Mantanani kira-kira 1.20 tengah hari.

“Sebelum kapal mangsa dijumpai, pasukan penyelamat telah dimaklumkan sebuah bot nelayan ternampak bot yang didakwa hilang itu di lokasi berkenaan.

“Sejurus menerima maklumat pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Sabah telah menghantar pesawat udara Pasukan Gerakan Udara (PGU) ke lokasi tersebut dan mengesahkan bot berkenaan berada di situ,” katanya dalam satu kenyataan.

APMM berkata bot penyelamat iaitu KM MEMMON milik APMM dan KD JERONG milik Tentera Laut Diraja Malaysia telah sampai ke lokasi bot itu kira-kira 2.30 petang dan kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Semalam, APMM melancarkan operasi mencari dan menyelamat apabila bot mangsa yang keluar memancing di perairan Pulau Mantanani dan Pulau Mengalum itu dilaporkan belum tiba seperti dijadualkan pada pukul 1 tengah hari serta gagal dihubungi.