10 PATI, 24 Penagih Ditahan

57

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dijalankan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu semalam berjaya menahan 10 individu termasuk seorang kanak-kanak.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintenden George Abd. Rakman berkata, kesemua PATI tersebut ditahan di sekitar bandaraya Kota Kinabalu bermula pukul 2 petang hingga 8 malam tadi.

“Tumpuan lokasi adalah sekitar bandaraya yang mana kadar pertumbuhan PATI yang mengundang kegiatan jenayah Kota Kinabalu. Semua PATI berumur antara 16 hingga 55 tahun.

“Semua PATI berkenaan adalah warga Filipina yang disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi telah dijalankan di tujuh lokasi selama enam jam melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Rela Sabah, Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).

Sementara itu, dalam kenyataan berlainan, George berkata, Op Sarang membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah turut dipergiat bagi mencegah jenayah itu daripada menjadi barah dalam masyarakat.

Katanya, dalam tiga operasi dilakukan di pekan Inanam, Kampung Sembulan dan Kampung Labou antara 18 September hingga 20 September lalu, sebanyak 24 suspek ditahan atas beberapa kesalahan berkaitan najis dadah.

“Sebanyak 39 individu diperiksa dan hasilnya seorang disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah berbahaya 1952, 11 suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 12 lagi di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama.

“Op Sarang ini bertujuan mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah dan juga membanteras masalah penagihan yang semakin berleluasa,” katanya.

Menurut beliau, dalam tempoh seminggu operasi dijalankan bermula 14 September hingga 20 September lalu, sebanyak 52 suspek ditangkap terdiri daripada 31 warga tempatan dan 21 warga asing.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 14.87 gram syabu serta 9.7 gram ketamin yang dianggarkan bernilai RM2,198 mengikut harga semasa.