Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, setakat ini, 10 lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 36 tahun ditahan bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.
Seramai lapan orang tangkapan mendapat perintah reman daripada Mahkamah Majistret Labuan selama empat hari bermula hari ini sehingga 16 Disember manakala, dua lelaki direman sehingga esok.
Beliau berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian rusuhan melibatkan penyokong dan pemain bola sepak itu semalam.
“Kejadian rusuhan bermula semasa separuh masa kedua ketika perlawanan antara Pasukan Bambu 2 dengan Pasukan PAT United kira-kira jam 1.30 tengahari.
“Terdapat beberapa orang penyokong dari kedua-dua pasukan yang tidak berpuas hati dengan kekasaran yang berlaku semasa perlawanan.
“Rentetan itu, beberapa orang penyokong telah masuk ke dalam padang dan berlaku provokasi sehingga berlaku pergaduhan antara penyokong dan pemain kedua-dua pasukan. Susulan itu, beberapa individu mengalami cedera ringan dan menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Ibrahim berkata, susulan itu, polis berjaya mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian rusuhan itu dan beberapa siri tangkapan dibuat untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menasihatkan penganjur acara sukan untuk memaklumkan kepada polis mengenai penganjuran yang akan melibatkan kumpulan yang ramai serta dihadiri pemimpin tempatan atau orang-orang kenamaan bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.