10 Kawasan di Pedalaman Miri Terima Dos Penggalak Hari Ini

MIRI: Sebanyak 10 kawasan di pedalaman Miri menerima bekalan dos penggalak vaksin COVID-19 yang dihantar dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak dari Pangkalan Operasi Udara Bomba di sini hari ini.

Penerbangan yang bermula pada 10 pagi itu diketuai oleh Kapten Faizal Izani dan dibantu Pembantu Juruterbang Robert James serta Noor Hanif Maliki selaku Air Quarter Master.

Menurut James, penghantaran hari ini merupakan operasi paling banyak destinasi melibatkan klinik kesihatan di Long Lellang, Long Banga, Lio Mato, Long Jeeh, Long Jekitan, Long Naah, Long Pillah, Long Teran, Long Bemang dan Long Teru yang memakan masa empat jam.

Turut serta dalam operasi itu Ketua Sektor Pembangunan Keluarga Pejabat Kesihatan Bahagian Miri Dr Noor Izni Mohamed Shapie dan Jururawat Kanan Pusat Transformasi Bandar Dayang Asmah Awang Ahmad selaku wakil Kementerian Kesihatan (KKM).

“Dianggarkan lebih 1,000 dos vaksin penggalak jenis Pfizer dihantar ke 10 klinik kesihatan hari ini untuk kegunaan penduduk di kawasan pedalaman ini,” kata Dr Noor Izni kepada Bernama selepas operasi itu.

Wakil Bernama turut berkesempatan mengikuti operasi itu bagi merasai sendiri pengalaman serta cabaran yang dilalui pihak bomba dan KKM untuk menghantar bekalan vaksin ke kawasan pedalaman.

Antara pengalaman yang dapat dikongsi penulis ialah cabaran sewaktu penerbangan apabila juruterbang terpaksa menukar arah laluan beberapa kali susulan keadaan cuaca kurang baik selain bentuk geografi yang berbukit dan bergunung-ganang.

Susulan itu, rancangan asal untuk mendarat di Long Bedian terpaksa dibatalkan kerana berdepan kekangan bahan api yang semakin berkurangan dan juruterbang akhirnya memutuskan untuk kembali ke pangkalan.

Selain itu, tapak pendaratan helikoter di kawasan yang ingin dituju pula menyaksikan pelbagai bentuk permukaan, ada yang air bertakung, rumput terlalu lembut dan kawasan kurang luas yang pastinya menguji kecekapan juruterbang.

Operasi hari ini membuka mata penulis bahawa pengorbanan dan cabaran yang dihadapi pasukan bomba dan KKM serta pelbagai agensi lain yang bertungkus-lumus demi memastikan semua rakyat negara ini tidak terlepas daripada menerima bekalan vaksin COVID-19 untuk kesejahteraan bersama adalah terlalu besar.