10 Kampung Di Pitas Dinaiki Air, Jalan Utama Putus Di Beberapa Tempat

Kerja-kerja pemantauan sedang dijalankan sehingga sekarang bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.
Kerja-kerja pemantauan sedang dijalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam sehingga sekarang bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.
Colonel Mulliadi Al-Hamdi
Colonel Mulliadi Al-Hamdi

PITAS – Sepuluh kampung di sini dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak 10 malam semalam (Selasa), kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin.

Beliau berkata kampung terlibat ialah Kampung Bilangau Besar, Kampung Rukom Ulu, Kampung Sinasak Batu, Kampung Sibaung, Kampung Kusilad, Kampung Pandan Mendamai serta Kampung Salimpodon Darat.

Selain itu, katanya, Kampung Pinggan-Pinggan, Kampung Indah dan Kampung Dandun turut terjejas berikutan bacaan paras air di dua sungai berhampiran kampung berkenaan, iaitu Sungai Kebatasan dan Sungai Bengkoka kini berada pada paras bahaya.

“Sungai Kebatasan berada pada paras 6.15 meter (m), melebihi tahap paras bahaya 6m; manakala Sungai Bengkoka menunjukkan bacaan 4m iaitu pada paras bahaya. Trend air menaik disebabkan hujan turun sejak jam 10 malam semalam sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari Rabu.

Muliadi berkata pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Rukom telah dibuka, namun, maklumat mangsa terlibat belum diperoleh kerana masih dalam proses pendaftaran.

Beliau berkata enam laluan utama di kawasan terbabit tidak dapat dilalui kenderaan ringan dan hanya boleh dilalui kenderaan berat serta pacuan empat roda sahaja.

“Kerja-kerja pemantauan sedang dijalankan sehingga sekarang bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar,” katanya, dan menambah APM dan agensi lain bersama-sama membuat tinjauan dan kerja-kerja menyelamat di kampung terjejas serta kampung berisiko dilanda banjir.