1.89 Juta Siswazah Bekerja di Bawah Kelayakan – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Melihat jurang ketidaksepadanan pekerjaan di negara ini yang semakin besar, kerajaan disaran untuk menangani permasalahan ini bagi memastikan pemulihan ekonomi negara tidak terbantut.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, jika dilihat pada tahun lalu, sebanyak 1.89 juta lepasan siswazah bekerja dalam sektor separa mahir dan tanpa kemahiran.

Ia merangkumi 37.4 peratus jumlah pekerja yang mempunyai kelayakan lepasan ijazah dan ini bermakna pekerjaan bagi kelayakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diploma telah diisi oleh pekerja lepasan siswazah, iaitu mereka yang bekerja di bawah kelayakan.

Situasi ini secara jelas menunjukkan terdapat jurang ketidaksepadanan yang besar dalam pasaran kerja di negara ini.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi siswazah lepasan universiti.

Ia bagi memberikan ekuiti seimbang dalam pasaran kerja negara dan berlaku adil kepada golongan B40 berkelayakan sederhana dan rendah.

Maka, kerajaan perlu mengutamakan ekonomi gig dan keusahawanan bagi lepasan siswazah yang mencari pekerjaan. Disamping itu, perjawatan secara kontrak dengan agensi kerajaan dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) boleh ditawarkan kepada mereka.

Ini merupakan langkah yang efektif untuk membolehkan mereka mengharungi kehidupan semasa pandemik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang ini berkata, impak pekerjaan di bawah kelayakan ini adalah besar memandangkan ia menyentuh kebolehpasaran golongan B40 yang berpendidikan sederhana dan rendah untuk mendapatkan pekerjaan.

Kajian menunjukkan bahawa kebolehpasaran ini membawa kepada jurang kemiskinan lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah B40.

“Mereka hilang pekerjaan kerana pekerjaan mereka diambil oleh siswazah lepasan universiti dan boleh menyebabkan mereka berada dalam golongan miskin bandar.

“Ia sekaligus memberikan implikasi yang sama kepada golongan berpendapatan sederhana, M40 yang berumur antara 45 hingga 60 tahun. Kehilangan pekerjaan boleh menyebabkan lebih ramai golongan M40 jatuh kepada B40. Perkara ini harus dikekang,” ujarnya.

-TAMAT-