Yahya Yakin Projek Naik Taraf Prasarana Di Putatan Dipercepatkan

77
Yayha Hussin, kiri, mengiringi Najib dan Datuk Seri Musa Aman mengunjungi Tamu Daerah Putatan dalam Program Walkabout/PTP (Pemimpin Turun Padang) hari Sabtu. Beliau sempat beramah mesra dengan peniaga-peniaga tamu yang menjual makanan ringan serta buah-buahan tempatan. – Gambar ihsan BERNAMA

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin menyuarakan keyakinan bahawa kerajaan persekutuan akan mengkaji permintaan supaya dipercepatkan projek menaik taraf infrastruktur di Putatan.

Ini, katanya, disebabkan pertumbuhan pesat di Putatan berikutan kedudukannya yang hampir dengan pusat bandar Kota Kinabalu, yang menjadi pilihan ramai untuk menjadikan daerah itu sebagai tempat kediaman mereka.

“Saya telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengkaji untuk mempercepatkan permintaan kita agar dinaik taraf sekolah, pasar di daerah ini dan infrastruktur lain di Putatan.

“Saya tidak pasti bila permintaan kita akan dipenuhi, namun saya yakin perdana menteri akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi keperluan kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas lawatan Najib ke pasar Putatan di sini hari Sabtu.

Yahya, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Petagas, berkata penambahbaikan itu tidak sekadar memberi kehidupan selesa kepada penduduk, bahkan memberi manfaat ekonomi berikutan pembangunan komersial yang dilaksanakan dan limpahan ekonomi yang dibawa Lebuhraya Pan Borneo apabila siap kelak memandangkan lebuh raya itu akan melalui Putatan.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk menaik taraf sekolah dan kemungkinan membina lebih banyak sekolah bagi penduduk yang semakin meningkat jumlahnya di daerah ini.