Yahya Cadang Cukai Kadaran Majlis Daerah Putatan Dikaji Semula

91
Yahya Hussin

PUTATAN – Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin mencadangkan cukai kadaran yang dikenakan Majlis Daerah Putatan dikaji semula bagi meringankan beban rakyat.

Yahya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, berkata kajian semula itu perlu dengan mengambil kira isu kenaikan harga barang semasa dan kos sara hidup yang ditanggung masyarakat.

“Saya mendapat maklum balas daripada masyarakat (mengenai kadar cukai kadaran yang dikenakan). Ada dalam kalangan mereka mengadu kurang mampu dan ada yang melihat kenaikan kadar cukai sekarang sebagai mendadak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah 14 Ahli Majlis Daerah Putatan di sini hari Khamis.

Menurut Yahya, pegawai daerah Putatan perlu membincangkan perkara itu dengan pegawai-pegawai kementerian kerajaan tempatan.

“Seperti yang kita ketahui, harga barang sudah naik. Perlu juga kadar cukai kadaran dinaikkan sebab sudah lama tidak dinaikkan tetapi haruslah berpatutan. Sebab itu, saya minta supaya ia dikaji semula,” katanya.

Menurut Yahya, kadar cukai kadaran perumahan dan premis komersial di Putatan kini ialah masing-masing lima dan enam peratus yang dinilai berasaskan nilai hartanah semasa.

Sementara itu, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah mahu kemudahan rekreasi dibangunkan di daerah Putatan untuk dimanfaatkan bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga pelancong asing yang berkunjung ke daerah berkenaan.

Katanya daerah Putatan memiliki lokasi-lokasi menarik dan sesuai dibangunkan sebagai pusat rekreasi termasuk pantainya yang boleh dijadikan tempat melihat matahari terbenam.

Yahya juga mencadangkan agar pusat pentadbiran baharu Majlis Daerah Putatan diwujudkan di lokasi lebih strategik bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan agensi itu sekaligus meningkatkan imej majlis daerah itu sesuai dengan kemajuan pesat yang dialaminya.

Terdahulu dalam ucapannya, Yahya menggesa pegawai-pegawai majlis daerah itu agar mengutamakan integriti ketika melaksanakan tugas bagi mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap pengurusan majlis daerah.