Wira Kecam Campurtangan Pihak Tertentu Larang Kempen Isi Tabung Darah

226
FRANCIS AU

Oleh FRANCIS AU
KOMENTAR: Wira Parti Warisan Sabah melahirkan rasa kesal terhadap campurtangan pihak tertentu yang melarang pihak Hospital Papar untuk terlibat khususnya dalam usaha-usaha membantu mengisi Tabung Darah oleh pihak yang prihatin.

Tindakan ini sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima oleh akal fikiran dan ianya adalah sesuatu yang melangkaui batas kemanusiaan.

Jumaat lepas, Parti Warisan Sabah Bahagian Papar telah menganjurkan Program Amal Derma Darah yang mana program itu telah dipersetujui oleh pihak Hospital Papar yang dijadual bermula jam 7.00 pagi hingga 5.30 petang bertempat di Pekan Papar.

Umumnya kita diberitahu bahawa pihak hospital kerapkali merayu kepada orang awam untuk menderma darah memandangkan keadaan simpanan darah di Tabung Darah di kebanyakkan hospital sentiasa dalam kekurangan bekalan.

Kita menyedari bahawa darah amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa oleh pihak yang memerlukannnya dan atas sebab itu program berkenaan dianjurkan bagi mengisi Tabung Darah Hospital Daerah Papar sebagai sumbangan sempena merayakan Aidilfitri.

Bagaimanapun, sehari sebelum program berkenaan penganjur dihubungi oleh pihak Hospital Daerah Papar untuk memaklumkan bahawa program berkenaan terpaksa dibatalkan atas alasan ianya dianjurkan oleh Parti Warisan Sabah.

Dalam kes kritikal sebegini pihak Hospital wajar diberi kebebasan sepenuh untuk berurusan dengan mana-mana pihak atas dasar kemanusiaan dan demi menyelamatkan nyawa.

Maklumat daripada Pusat Darah Negara memberitahu bahawa situasi di Malaysia ketika ini memerlukan sekurang-kurangnya 1.4 juta jumlah penderma tetap bagi mencapai sasaran lima peratus yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi negara-negara maju.

Pada ketika ini negara hanya memiliki 700,000 penderma darah tetap pada setiap tahun dan bagi mencapai sasaran ini, maka pihak hospital amat menggalakkan masyarakat untuk membantu menambah bekalan darah kerana hayat setiap beg darah hanya bertahan selama 42 hari.

Oleh sebab itu, tambahan bekalan darah baru amat diperlukan untuk menggantikan tabung darah yang kehabisan tempoh itu selain untuk menampung keperluan bekalan darah di hospital-hospital yang memerlukannya.

Akibat kekurangan darah, terdapat kemungkinan hospital yang terpaksa menunda jadual pembedahan yang tidak kritikal jika bekalan darah masih berada di paras yang sama.

Disebabkan penggunaan yang meningkat, kita tidak mampu berbuat apa-apa melainkan orang ramai menderma darah secara berterusan.

Selain itu, keperluan bekalan darah ini meningkat dikhuatiri meningkat pada musim-musim perayaang yang mana keperluan darah ini antara lain disebabkan oleh kadang kemalangah jalanraya yang tinggi pada musim ini.

Oleh itu, tindakan pihak Hospital Daerah Papar ini sebenarnya bukan sahaja menunjukkan tahap kesedaran yang rendah, malahan sebenarnya secara tidak langsung mampu menafikan hak para pesakit yang sedang bertarung nyawa untuk diberi rawatan.

Ini adalah satu tindakan yang kejam dan bukan sahaja melampaui batas tetapi sebenarnya amat tidak berperikemanusiaan.

Justeru, walaupun usaha ini tidak mendapat restu oleh Pihak Hospital, namun atas kesedaran itulah Wira dan Wirawati Parti Warisan Sabah tetap fokus dan akan terus mengadakan kempen menderma darah.

Saya selaku Ketua Wira Bahagian Kota Marudu akan mengadakan kempen menderma darah khususnya di Kota Marudu dan saya menyarankan agar kempen ini dijalankan di seluruh negeri juga.

  • Francis Au adalah Ketua Penerangan Wira Pusat / Ketua Wira Bahagian Kota Marudu, Parti Warisan Sabah