Warga India Di Hadapkan Mahkamah Atas Tuduhan Mengedar RM500K Dadah

1349
Dhastagir Mohamed Mohideen, dibawa keluar dari mahkamah selepas dituduh mengedar dadah di Lapangan Terbang Labuan.

LABUAN – Seorang warga India dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari Khamis atas pertuduhan mengedar tiga kilogram heroin dan 3.4 kilogram methamphetamine pada 9 Feb lepas.

Dhastagir Mohamed Mohideen, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di pusat pemeriksaan bagasi di balai pelepasan domestik Lapangan Terbang Labuan pada kira-kira 10.50 pagi pada tarikh itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 24 April bagi sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, Dhastagir dari Mumbai, India telah transit di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebelum mengambil penerbangan domestik ke Labuan dan mahu berlepas semula ke KLIA pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, dia ditahan selepas begnya didapati mengandungi dadah itu semasa diperiksa.

Tertuduh dihantar ke Penjara Kepayan sementara menunggu prosiding seterusnya bagi kes itu.