Warga Emas Antara Empat Dicekup Polis Tawau; RM271K Syabu Dirampas

1271
ACP Fadil mempamerkan dadah dan barang lain yang dirampas dari empat lelaki itu di Tawau pada Sabtu malam. – Gambar ehsan Unit Media IPD Tawau

Oleh BORNEOTODAY
TAWAU: Empat lelaki tempatan, termasuk seorang warga emas, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Strike Team Tawau di kawasan Hotel Kingston di sini, malam tadi (Sabtu).

Turut dirampas oleh pasukan polis yang diketuai oleh ASP Ederian bin Maasat adalah 3,870 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RN270,900, ACP Fadil Marsus, Ketua Polis Daerah Tawau berkata Ahad.

Dalam satu sidang akhbar, ACP Fadil berkata kesemua suspek berusia lingkungan 31 hingga 61 tahun itu ditahan kira-kira 10.30 malam dalam operasi yang digerakkan melibatkan tiga pegawai dan 11 anggota polis dalam serbuan Op Bayu.

“Pemeriksaan badan terhadap suspek pertama berusia 61 tahun menemukan sekeping kad kunci bilik hotel dan daripada itu bilik hotel diperiksa dan menemukan sebuah beg plastik warna hitam di dalam almari.

“Beg itu mengandungi empat paket plastik lutsinar bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,”katanya dalam sidang media di sini..

ACP Fadil berkata kesemua suspek dibawa balik ke IPD Tawau untuk saringan ujian air kencing, tetapi adalah negatif. Suspek warga emas memiliki satu rekod kesalahan jenayah komersial dadah pada tahun lepas.

Suspek juga ditahan reman dibawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari dan akan disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua kenderaan iaitu Toyota Land Cruiser dan Toyota Hilux dipercayai digunakan untuk pengedaran dadah.

“Polis turut membuat sitaan terhadap sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Myvi daripada seorang suspek yang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

ACP Fadil mengucapkan syabas dan tahniah kepada anggota polis yang terlibat dalam kejayaan tersebut.

“Diharap dengan adanya operasi berterusan seperti ini, najis dadah dapat dibanteras habis-habisan dengan kerjasama daripada masyarakat demi mengekalkan bandar Tawau dalam keadaan yang aman dan sejahtera,” tambah beliau.

Dalam kes asing, Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan 27 warga Indonesia termasuk seorang juragan, 19, yang cuba menyusup masuk ke daerah ini melalui persisiran Laut Batu 4 di sini, pada Jumaat lepas.

“Didapati 26 individu berumur lingkungan 4 bulan sehingga 43 tahun cuba untuk mendarat di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas,” kata ACP Mohd Yazib Abd Aziz, Komander PPM Wilayah 4 Sabah.

Beliau berkata dalam kejadian 7.50 malam itu pihaknya yang membuat pemantauan di kawasan tersebut telah menahan dan memeriksa sebuah bot laju mencurigakan berwarna biru-kuning dengan enjin Yamaha 200hp.