UMNO, BN Terus Kukuh Bertapak Di Sabah – Ketua Umno Silam

96

LAHAD DATU: Pembukaan 16 cawangan baharu UMNO di Bahagian Silam membuktikan parti itu dan Barisan Nasional (BN) terus kukuh bertapak di Sabah.

Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal berkata cawangan dalam bahagian itu yang kesemuanya kini berjumlah 486 buah, akan memperkasakan lagi kubu UMNO di Silam dan Sabah, sekaligus memberi petanda rakyat masih menyokong kuat UMNO serta BN.

Yusof Apdal

“Tambahan cawangan ini adalah lapan daripada Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, menjadikannya berjumlah 257 cawangan, dan masing-masing empat bagi Tungku (132) dan Kunak (97),” katanya kepada pemberita di sini, hari Sabtu.

Beliau berkata selain itu, pembukaan cawangan itu sekaligus menepis dakwaan pembangkang baru-baru ini kononnya ramai anggota UMNO telah keluar parti.

“Sebuah parti pembangkang di Sabah bertindak tidak realistik dalam mengeluarkan kenyataan jumlah anggota kita yang menyertai partinya, sedangkan dakwaan itu tidak betul dan UMNO masih ada permohonan untuk menubuhkan cawangan baharu,” katanya.

Yusof yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu berkata tindakan parti pembangkang menguar-uarkan perkara itu bertujuan mewujudkan sensasi dan mempopularkan parti baharu yang ditubuhkan.

Katanya apabila dianalisis, individu yang menyertai parti pembangkang itu sebenarnya bukan anggota UMNO, tetapi merupakan anggota parti pembangkang lain.

“Rakyat perlu melihat keadaan sebenar perjuangan pembangkang itu hanya agenda sendiri malahan pemimpin yang berjuang demi agenda peribadi saban masa akan bersilih ganti dan akan pergi malah senyap apabila kalah,” katanya.