Tuduhan Menceroboh! 400 Peneroka Tempatan Bimbang Hilang Segalanya

10767
Seorang peneroka berumur 73 berkata beliau dilahirkan dan telah menduduki di tanah berkenaan sejak tahun 1943 sehingga sekarang.

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Sekumpulan 400 orang peneroka di Kg. Keningau Ulu bimbang kerana bukan sahaha kehilangan tempat tinggal tetapi sumber pendapatan mereka apabila diarahkan untuk berpindah sebab dituduh sebagai penceroboh.

Michael Frederick

Menurut Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Sabah (AGARAS) peneroka terbabit sudah mengusahakan tanah sepanjang jalanraya Keningau-Kimanis sejak tahun 1974 lagi.

Presiden pertubuhan bukan kerajaan itu, Michael Frederick, berkata kumpulan penduduk tempatan itu bukan penceroboh seperti mana surat yang dikeluarkan pihak Jabatan Perhutanan Sabah.

“Saya telah melihat beberapa dokumen dari beberapa jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Taman-Taman Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur yang telah memberikan kebenaran kepada peneroka-peneroka ini bagi mengusahakan tanah tersebut dengan syarat mematuhi peraturan untuk tidak memasuki kawasan hutan simpan atau taman negara.

“Hingga kini syarat-syarat yang dipersetujui antara pihak agensi kerajaan dengan peneroka dipatuhi,” katanya dalam kenyataan yang dihantar ke BorneoToday.

Kawasan berkenaan telah dikeluarkan daripada Taman Negara dan dijadikan tanah milik kerajaan untuk memberi laluan bagi pembinaan Jalan Keningau-Kimanis.

Peneroka minta supaya geran tanah atau tanah rizab, sekurang-kurangnya geran komunal dikeluarkan oleh kerajaan untuk memastikan tanah tersebut kekal.

Bagaimanapun, peneroka-peneroka bumiputera ini telah mendapat notis keluar dari tanah tersebut yang tidak bergeran kerana adanya cadangan bagi pengambilan Jabatan Perhutanan Sabah untuk menjadikan kawasan itu sebagai Hutan Simpan Kelas 1.

Kebun-kebun yang telah diusahakan terletak jauh dari sungai dan kawasan tersebut masih luas dengan hutan tebal.

Seorang peneroka berumur 73 berkata beliau dilahirkan dan telah menduduki di tanah berkenaan sejak tahun 1943 sehingga sekarang.

Tanaman seperti pokok getah berusia 30 tahun, kelapa sawit dan tanah perkuburan nenek moyang beliau juga terletak di kawasan tersebut.

Michael menyeru pihak kerajaan agar memberikan mereka kebenaran mengusahakan tanah tersebut dan mengeluarkan geran tanah hakmilik atau mengiktiraf kawasan itu sebagai tanah rizab perkampungan.

Beberapa anggota polis hadir juga untuk menjaga tiada ada perkara tidak diingini berlaku.

“Kalau bukan geran tanah atau tanah rizab, sekurang-kurangnya geran komunal untuk memastikan tanah tersebut kekal dan dapat diusahakan oleh peneroka-peneroka ini selain memastikan tanah tidak dapat dijualbeli,” katanya.

AGARAS berpendapat cadangan untuk mewartakan tanah tersebut sebagai Hutan Simpan oleh Jabatan Perhutanan Sabah kurang sesuai memandangkan tanah di sekeliling masih dalam pewartaan Hutan Simpan dan taman-taman Sabah.

“Dan yang lebih sedih, tanah tersebut telah diusahakan sejak tahun 1970an dengan kebenaran dan rata-rata peneroka ini adalah bumiputra dan warganegara Malaysia.

“Tanaman serta tanah perkuburan nenek moyang mereka juga dalam kawasan cadangan tersebut.

“Kami juga menyeru mana-mana pihak supaya tidak mempolitikkan isu ini,” tambah Michael.

Manakala itu, peneroka Kg. Samalang dan Kg. Keningau bersama AGARAS mengadakan bantahan secara aman di Batu 12, Kimanis pada 10 Feb lalu.

Mereka memohon perhatian pihak kerajaan terutamanya Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman berkenaan dengan masalah yang mereka hadapi.