Tuduhan Dan Serangan Peribadi Dilemparkan Kepada Shafie Daripada UMNO/BN

10878
Francis Au

Oleh FRANCIS AU
KENYATAAN: Datuk Seri Najib Razak, Presiden UMNO berkata yang kononnya Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie satu ketika dahulu meminta dilantik jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah merupakan satu lagi pembohongan besar UMNO dan Barisan Nasional yang semakin terdesak meraih sokongan rakyat Sabah.

Bagaimana seorang Perdana Menteri boleh berbohong secara membabi buta memperbodohkan rakyat Sabah, sedangkan beliau sendiri sedar bahawa Shafie bukanlah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)?

Najib ketika berucap di majlis perasmian Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, Sandakan Jumaat, mendedahkan kononnya Shafie, bekas Naib Presiden UMNO, pernah berjumpa beliau untuk meminta dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.

Secara logiknya, untuk dilantik menjadi Ketua Menteri seseorang itu mestilah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), manakala Shafie pula adalah seorang Ahli Parlimen Kawasan Semporna.

Pelbagai tuduhan bertali arus berbentuk serangan peribadi dilemparkan kepada Shafie daripada pihak UMNO/Barisan Nasional dimulai dengan menafikan sumbangan Shafie semasa menjawat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Shafie bersama isterinya dan barisan pimpinan Warisan di Pulau Sumandi, Semporna baru-baru ini. Rakyat ramai yang mengeluh, berkongsi pelbagai masalah yang membelenggu kehidupan seharian mereka.

Selain itu, serangan perkauman keatas Shafie yang dituduh kononnya Bajau/Suluk Pendatang Asing Tanpa Izin, dan juga, penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan isu skandal Jabatan Air Negeri Sabah.

Setelah semua tuduhan ini gagal maka rakyat Sabah sebenarnya tidak sebodoh seperti yang difikirkan oleh pemimpin UMNO/Barisan Nasional.

Umumnya, rakyat Sabah mengetahui bahawa kedudukan Shafie dalam kerajaan diketepikan ekoran kritikan yang dibuat terhadap Najib khususnya dalam isu penyelewengan dana dan penyalahgunaan kuasa Perdana Menteri berkaitan 1MDB.

Susulan daripada itu, Shafie kemudian digantung keahliannya atas tuduhan melakukan kesalahan disiplin, sedangkan rakyat tahu bahawa Najib sebenarnya telah menganiaya seorang negarawan yang berjuang untuk bangsa, agama dan negara.

Atas sebab itu, maka perjuangan Shafie semakin mendapat tempat di hati rakyat Sabah melalui wadah Parti Warisan Sabah sehingga berjaya menyatukan rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama.

Selama UMNO/Barisan Nasional memerintah lebih 20 tahun di Sabah rakyat Sabah terus terpinggir dari kemajuan.

Meskipun Sabah adalah sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber alam semulajadi seperti petroleum, minyak sawit dan kayu balak tetapi amat menyedihkan kerana pada hakikatnya rakyat Sabah adalah yang termiskin di Malaysia.

Oleh itu, rakyat Sabah telah sedar dan bangkit menuntut hak. Maruah pengundi di Sabah tidak serendah nilai BR1M dan tangki air biru Barisan Nasional, dan rakyat Sabah akan menghukum UMNO/Barisan Nasional pada Pilihanraya akan datang.

  • Francis Au adalah Ketua Penerangan Wira, merangkap Ketua Wira Kota Marudu, Parti Warisan Sabah. Inilah ada pendapat peribadi penulis.