TUDM Terbangkan Bayi Menghidap Penyakit Jantung Dari S’kan Ke Subang

4318
Ambulans yang membawa bayi itu ke hospital Gleneagles di Kuala Lumpur.

SANDAKAN: Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) menjalankan misi bantuan penerbangan ehsan dengan membawa seorang bayi yang menghidap penyakit jantung kongenital dari Hospital Sandakan ke Pangkalan Udara Subang.

Pegawai Perhubungan Media TUDM, Mej Marina Harun berkata, penerbangan ehsan menggunakan pesawat C-130H daripada 14 Skuadron (Pangkalan Udara Labuan) itu berlepas dari Lapangan Terbang Sandakan lebih kurang jam 9.45 pagi tadi (Sabtu) dan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 12.30 tengah hari.

“Adik Muhammad Mikael Aulian yang berusia dua bulan enam hari telah menghidap penyakit jantung sejak lahir dan memerlukan pembedahan segera di Kuala Lumpur.

Misi membawa seorang bayi yang menghidap penyakit jantung kongenital dari Hospital Sandakan ke Pangkalan Udara Subang. – Gambar ihsan TUDM

“Bayi itu ditemani ibunya, Mariani Latang bersama seorang pembantu jururawat serta pegawai perubatan sepanjang penerbangan ini,” katanya menerusi kenyataan, hari Sabtu.

Sebaik sahaja mendarat di Pangkalan Udara Subang, bayi itu terus dikejarkan ke Hospital Gleneagles, Jalan Ampang dengan menaiki ambulans.

“Ini merupakan tugasan yang menjadi salah satu tanggungjawab TUDM kepada masyarakat,” katanya lagi.

BERITA SELANJUTNYA:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/tudm-terbangkan-bayi-dari-sandakan-ke-subang-1.645608