Tindakan SPRM Terhadap Pemimpin Warisan Bermotifkan Politik – Chak

3993
Ketua Pemuda Warisan, Mohd Azis Jamman direman lima hari atas permintaan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia. – Gambar ihsan Grace Aisyah/Malaysiakini.com

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Wira Parti Warisan Sabah, Nicholas Chak menyatakan bahawa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dan menahan pemimpin-pemimpin Warisan secara berterusan merupakan satu tindakan politik.

Beliau mengatakan tindakan tersebut sebelum pilihanraya umum satu cubaan untuk melemahkan semangat perjuangan penyokong Warisan dan seterusnya merosakkan imej Warisan.

Nicholas juga menyoal mengapa hanya pada waktu sekarang baru kerajaan sedar wujudnya kes kehilangan wang sedangkan projek-projek yang terlibat adalah projek daripada tahun 2009 hingga 2015?

Adakah untuk mengetahui sesuatu kes tidak kira di dalam KKLW mahupun kementerian yang lain memerlukan tempoh selepas 5 atau 10 tahun?

NICHOLAS CHAK

“Persoalannya, adakah pembangunan yang diluluskan oleh KKLW hanya untuk Negeri Sabah? Dan adakah negeri-negeri lain tidak mendapatkan kelulusan pembangunan daripada kementerian ini? Mengapa tidak menjalankan siasatan ke atas negeri-negeri lain, kata Nicholas dalam satu kenyataan hari Khamis.

“Mengapa hanya Sabah sahaja diberi tumpuan? Tindakan SPRM untuk hanya menahan dan menyasarkan pemimpin-pemimpin Warisan secara berterusan dalam perkara ini nyata merupakan teknik politik kotor daripada pihak Kerajaan BN untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin Warisan.”

Nicholas berkata rakyat sabah tidak akan tertipu dengan tindakan SPRM yang hanya menganiaya pemimpin Warisan kerana rakyat mempunyai pertimbangan yang matang.

KKLW hanya menyediakan pelan perancangan projek pembangunan dan tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan projek; hanya Kementerian Kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Najib Razak sahaja yang boleh memberi kelulusan pelaksanaan keatas projek-projek tersebut..

Adakah Kementerian Kewangan tidak dipertanggungjawabkan ke atas kes ini? Demikian siasatan kes ini tidak sempurna jika Perdana Menteri juga tidak dipanggil untuk membantu siasatan.

Penyokong Warisan di Makhamah Kota Kinabalu baru-baru ini. Perjuangan Warisan tetap diteruskan, walaupun didesak pihak tertentu, kata Nicholas Chak.

“Najib seharusnya dipanggil untuk membantu siasatan sekiranya benar-benar mengikut prosedur siasatan yang lengkap,” tambah Nicholas.

Pemimpin belia itu berkata kes-kes ini mengingatkan kita apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang merupakan pemimpin DAP ditahan oleh SPRM untuk membantu siasatan.

Mereka sebenarnya tidak bersalah tetapi SPRM sengaja mencari kesalahan untuk menahan mereka.

Pada masa yang sama Nicholas menanyakan adakah Kemeterian Pembangunan Infrastruktur kehilangan wang? Mahupun Kementerian Perumahan, Kerajaan Tempatan Persekutuan serta Kementerian Pelancongan Persekutuan kehilangan wang?

Dia juga ingin menyoal Kementerian Kewangan bagaimana kes kehilangan wang RM1.5bilion boleh berlaku kerana kerajaan mengeluarkan sijil atau surat menyatakan bahawa projek tersebut telah siap dilaksanakan sepenuhnya.

Nicholas yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Warisan juga berkata, teknik politik kotor yang dilakukan oleh pihak kerajaan ke atas Warisan adalah kerana Warisan mendapat sokongan padu rakyat di luar jangkaan yang terdiri daripada seluruh pelusuk Negeri Sabah tanpa mengira kaum.

Pada masa yang sama, Nicholas mengingatkan parti-parti pembangkang yang lain agar tidak menuduh dan menyerang Warisan dalam perkara ini, kerana pemimpin Warisan hanya bekerjasama dengan SPRM dengan memberi keterangan dan membantu siasatan dan bukannya ditahan kerana jenayah atau dijatuhkan hukuman oleh hakim.