Tiga Belas Ditahan Berhubung Kes Curi Komponen Elektronik Syarikat

196
Salehuddin Rahman, dua dari kiri, dan ACP M Chandra, tiga dari kiri.

KOTA KINABALU: Polis menahan 13 individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes kecurian komponen elektronik milik syarikat telekomunikasi di Stesen Pemancar Jalan Bukit Padang dan Jalan Kauluan Tuaran, dekat sini baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehuddin Abd Rahman berkata berikutan satu laporan mengenai kes kecurian itu, satu pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah melakukan siasatan dan risikan.

“Berikutan itu, polis berjaya menahan lima lelaki dalam beberapa serbuan berasingan di Putatan, Kinarut, Tenom dan Keningau pada Jumaat dan Sabtu lepas.

“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 27 unit bateri kereta, peralatan pemotong wayar dan dua buah kereta,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek yang berusia 18 hingga 49 tahun itu positif dadah dan kesemua mereka direman selama empat hari sehingga esok.

Pada masa sama, Salehuddin berkata sepasukan anggota dari IPD Tuaran turut menahan enam lelaki berusia 25 hingga 35 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kes kecurian komponen elektronik milik dua syarikat telekomunikasi di Stesen Pemancar Jalan Kauluan Tuaran.

“Bertindak atas satu laporan pada 13 Feb lepas, polis telah melancarkan beberapa risikan dan berjaya menahan keenam-enam suspek berkenaan di sebuah rumah tidak bernombor di skim penempatan Telipok kira-kira pukul 3 pagi Sabtu lepas.

“Turut dirampas dalam serbuan itu beberapa gulung kulit kabel yang dipercayai berkaitan dengan kes kecurian berkenaan dan kesemua suspek berkenaan di reman selama empat hari sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Salehuddin berkata hasil siasatan terhadap kesemua suspek berkenaan, pihaknya juga telah menahan sepasang suami isteri berusia 30 dan 40 tahun yang juga merupakan pemilik premis besi buruk di Jalan Bantayan Inanam kira-kira pukul 4 petang semalam.

“Mereka ditahan untuk membantu siasatan dalam kes berkenaan dan polis turut merampas 55 buah bateri kereta dari premis itu,” katanya.