Tanah Kerajaan Adalah Tanah Orang Sabah, Bukan Orang Luar – Radin Malleh

359

TENOM: Bagi melindungi kepentingan generasi akan datang dan memelihara sumber masa depan negeri Sabah, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mewartakan sesuatu kawasan tanah hutan simpan menjadi tanah negeri, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Panglima Radin Malleh.

Kerajaan juga akan memastikan para penduduk daerah Tenom diberikan keutamaan apabila memohon tanah hutan simpan Mandalom yang telah dicadangkan sebagai tanah negeri dan bukan orang luar, katanya.

Radin bersalaman dengan ahli-ahli PBS cawangan LIGS di program itu. – Gambar ihsan Thomas Ralon

“Saya telah mengemukakan senarai pemohon tanah hutan simpan Mandalom yang disediakan oleh WKAN Taikul Tairus selaku wakil para pemohon berkenaan kepada Ketua Menteri Sabah untuk pertimbangan dan kelulusannya.

“Penukaran status tanah hutan simpan kepada tanah negeri hanya akan dibuat kerajaan apabila rakyat sudah tidak mempunyai tanah yang sesuai di kawasan itu di mana rakyat boleh memohon tanah negeri dan kerajaan juga boleh membahagikan lot-lot tanah seluas 10 sehingga 15 ekar kepada rakyat yang tidak bertanah di kawasan berkenaan,” katanya.

Radin yang juga ADUN Melalap berkata demikian ketika merasmikan penutupan mesyuarat agung tahunan PBS cawangan Skim Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Lagud Sebrang, Tenom pada baru-baru ini.

Dalam majlis itu, ketua cawangan PBS LIGS, Taikul Turais mengumumkan usul cawangan itu menyokong Radin dicalonkan semula mewakili BN untuk mempertahankan kerusi DUN N.35 Melalap dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata cadangan menyerahkan jalan LIGS kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah dikemukakannya semasa mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) Tenom yang lepas.

“LIGS menyatakan kekangan kewangan menyebabkan mereka sukar menyelenggara jalan itu, maka saya menyarankan LIGS menyerahkan jalan itu kepada JKR yang mempunyai peruntukan untuk menyelenggara dan menaiktaraf jalan itu.

“Namun JKR juga nampaknya keberatan mengambilalih jalan itu kerana ia akan membabitkan perbelanjaan tambahan disebabkan peruntukan sedia ada digunakan untuk menyelenggara jalan-jalan lain di Tenom.

“Saya berharap kata putus dapat dicapai oleh LIGS dan JKR dengan segera demi kesejahteraan hidup para penduduk LIGS,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan tindakan pengambilalihan secara paksaan terhadap tanah seluas 200 ekar milik syarikat Sime Darby yang terbabit dengan projek pekan baharu Melalap itu.