Sultan Kedah Berjiwa Rakyat; Warisan Sabah Ucap Sembah Takziah

146
Al-Marhum Sultan Abdul Halim dengan bekas president Amerika Syarikat, Barack Obama.

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah mengucap sembah takziah atas kemangkatan Sultan Kedah, DYMM Almarhum Sultan Al-Mu’tassim Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Dalam satu kenyataan Selasa, presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal berkata: “Dengan perasaan yang amat sedih dan dukacita saya Merafak sembah takziah kepada seluruh keluarga Kerabat di Raja Negeri Kedah Darul Aman dan Rakyat Kedah Darul Aman di atas kemangkatan Sultan Halim.

SHAFIE APDAL

“Sesungguhnya saya amat terasa kehilangan sentuhan serta jasa bakti DYMM Al-Marhum Tuanku semasa hayat Al-Marhum Tuanku menaungi Negeri Kedah Darul Aman dan semasa DYMM Al-Marhum Tuanku Sultan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-5 dan yang ke-14.

“Lebih-lebih lagi ketika saya ketika itu dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah pada tahun 2009-2011 DYMM Al-Marhum Tuanku sangat mengambil berat dan pro aktif dalam memberi cadangan membina demi kesejahteraan rakyat di negeri Kedah Darul Aman.

“Sesungguhnya DYMM Almarhum Tunku adalah Sultan yang sangat istimewa di mata dan hati rakyat negeri Kedah. Pemergian DYMM Al-Marhum Tuanku adalah kehilangan yang amat besar kepada seluruh rakyat negeri Kedah Darul Aman.

“Saya sebagai Presiden Warisan Sabah dan seluruh kepimpinan Parti Warisan Sabah berdoa semoga Allah SWT mencucuri Rahmat ke atas Roh Al-Marhum Tuanku.

Al-Fatihah!