Subsidi RM30,000 Untuk Projek Rumah Mampu Milik Di Labuan Tahun Ini

5376
Rozman Isli

LABUAN: Satu lagi projek rumah mampu milik dengan subsidi RM30,000 daripada kerajaan akan dibina di sini tahun ini.

Projek rumah pangsa di atas kawasan tanah seluas 5.6 hektar di Kampung Bukit Kuda membabitkan 600 hingga 700 unit itu akan dilengkapi Pusat Pemulihan Islam.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata projek itu mampu membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana di pulau tersebut untuk memiliki rumah.

“Kami berharap projek ini dapat membantu penduduk tempatan terutama mereka yang berpendapatan rendah memiliki rumah pada harga mampu milik menerusi subsidi kerajaan,” katanya.

Gambar hiasan rumah mampu milik yang dibina di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) dan Koperasi Gagasan Ekonomi Nusantara Sabah Berhad di sini.

Projek perumahan dengan harga RM250,000 seunit dan mematuhi syariah Islam itu akan siap dalam masa dua tahun.

Dalam Rancangan Malaysia ke-11 dari 2016 hingga 2020, rumah mampu milik adalah termasuk dalam objektif pembangunan, lengkap dengan rancangan lima tahun.

Antara strategi untuk mencapai objektif itu adalah meningkatkan kemampuan dan kebolehcapaian bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, selain memantapkan pengurusan dan penyampaian program perumahan awam untuk menggalakkan perumahan mampu milik yang lebih cekap dan mapan untuk rakyat.