Sokongan Masyarakat KDM Terhadap Barisan Nasional Masih Padu – Ramlee

117
Ramlee, gambar bawah, menyerahkan bantuan kepada 88 ketua keluarga mangsa kebakaran Kampung Balimbang dan Kampung Hampalan pada tahun lepas, di sini Ahad.

SEMPORNA – Sokongan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) yang meliputi 40 peratus populasi di Sabah masih padu terhadap kerajaan negeri yang ditunjangi Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata ia dapat dilihat menerusi sokongan masyarakat itu kepada pemimpin veteran KDM yang mempunyai aura tersendiri termasuk pemimpin seperti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Sokongan masyarakat KDM tetap memihak kepada Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada 88 ketua keluarga mangsa kebakaran Kampung Balimbang dan Kampung Hampalan pada tahun lepas, di sini Ahad.

Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Negeri berkata walaupun terdapat golongan radikal terutamanya generasi Y dalam KDM yang menyertai blok pembangkang, aura pemimpin KDM kekal dipandang tinggi masyarakat itu.

Malah, katanya kekalahan BN pada pilihan raya umum di beberapa kerusi majoriti pengundi KDM sebelum ini tidak menggambarkan penolakan masyarakat itu terhadap BN.

“BN tetap berada pada tahap baik dan mendapat kepercayaan masyarakat KDM apabila masih mampu memenangi kerusi lain,” katanya lagi.