Shafie Apdal: Berikan Penghormatan Kepada Sambutan Tadau Kaamatan

3257
Shafie Apdal suggests making ‘Tadau Kaamatan’ a national holiday.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal hari ini menggesa Kerajaan Persekutuan pimpinan Najib Razak untuk memberi penghormatan kepada sambutan Pesta Menuai yang disambut oleh kaum KadazanDusun dan Murut di Sabah dengan mengistiharkan 30 dan 31 Mei sebagai cuti umum seluruh negara.

Langkah tersebut adalah perlu untuk membolehkan ribuan rakyat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia meraikan pesta tersebut bersama-sama dengan lain-lain kaum di situ.

“Sebenarnya, ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking, telahpun membawa gesaan untuk menjadikan Tadau Kaamatan ini sebagai cuti umum seluruh negara beberapa kali di Parlimen ketika beliau masih lagi berada dalam PKR.

“Ketika saya masih berada dalam UMNO, saya pun pernah mendengar gesaan beliau ini; barulah saya faham dengan mendalam mengapa Tadau Kaamatan ini perlu diberi penghormatan oleh Kerajaan Persekutuan,” ujarnya melalui satu kenyataan akhbar.

‘Bobohizan’

Menurut Shafie, kaum KadazanDusun dan Murut sebenarnya telah memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukkan Persekutuan Malaysia melalui pemimpin-pemimpin lalu kaum ini.

“Dan pemimpin-pemimpin lalu kaum ini jugalah yang telah memastikan bahawa Sabah tidak akan dipergunakan oleh Malaya melalui beberapa siri perundingan serta penggubalan syarat dan terma yang menjadi tunjang kepada Perjanjian Malaysia 1963 yang kita pertahankan sekarang ini.

“Tetapi agak mendukacitakan apabila kita melihat ramai belia-belia KadazanDusun dan Murut kini terpaksa mencari pekerjaan di semenanjung Malaysia sebagai pekerja kolar biru sedangkan ini bukannya apa yang diimpikan oleh pemimpin-pemimpin lalu mereka ketika ‘bersetuju membawa Sabah membentuk Persekutuan Malaysia’.

“Dan saya pasti, sekiranya tokoh-tokoh politik seperti Fuad Stephens, Peter Mojuntin, G.S. Sundang dan OKK Sedomon masih ada, sudah tentulah mereka akan merasa sangat sedih apabila melihat keadaan belia-belia KadazanDusun dan Murut yang ada di semenanjung Malaysia sekarang ini,” katanya.

Shafie berpendapat bahawa untuk mengembalikan semula jati diri dikalangan kaum KadazanDusun dan Murut di Malaysia, satu anjakkan paradigma haruslah dilakukan agar mereka merasa bangga sebagai ‘pewaris’ kepada sumbangan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin lalu mereka ketika proses pembentukkan Persekutuan Malaysia.

“Kita rakyat Sabah biasanya akan merasa amat bangga apabila melihat artis-artis ataupun ahli-ahli sukan dari Sabah mempamerkan persembahan yang amat baik diperingkat nasional.

Jadi, bayangkan jika martabat negeri Sabah ini dinaikkan dengan menjadikan Tadau Kaamatan ini sebagai satu sambutan ‘kebudayaan yang penting di Malaysia’ dengan menjadikannya cuti umum di seluruh negara.

Selain daripada memberi peluang kepada rakyat Sabah di semenanjung Malaysia untuk berehat dan menyambutnya secara beramai-ramai, cuti umum ini sudah pastinya akan membolehkan rakyat Malaysia bukan Sabah untuk mengetahui secara lebih mendalam mengenai kaum-kaum yang ada di Sabah ini serta sejarah pembentukkan Persekutuan Malaysia.

“Sabah diwakili oleh tiga pemimpin politik KadazanDusun di dalam Kabinet Persekutuan iaitu Madius Tangau, Maximus Ongkili dan Joseph Kurup, maka saya percaya tidak ada masalah untuk mereka mengutarakan perkara ini kepada Najib Razak,” tambahnya lagi.