Sememangnya Tidak Ada Jadual Kutipan Sampah Yang Efisien Di Putatan

1903
Md Aziz Jamman

Oleh MOHD AZIS BIN HJ JAMMAN
KENYATAAN: Saya merujuk kepada jawapan yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Putatan hari ini mengenai isu masalah sampah sarap yang teruk di daerah Putatan khususnya di DUN Petagas.

2. Saya merasa amat terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh Majlis Daerah Putatan dimana mereka mengatakan bahawa himpunan sampah ini disebabkan oleh orang luar dari daerah ini yang membuang sampah disini.

3. Sebenarnya, Wira Warisan Putatan dan Penampang telah pun membuat tinjauan lebih awal di beberapa kawasan kampung dan perumahan seperti Kg Ulu Putatan, Taman Pasir Putih, Taman Ketiau dan mendapati longgokan² sampah dikawasan² ini membuktikan bahawa kerja² mengutip sampah tidak dilakukan selama beberapa hari.

4. Pendedahan yang telah dibuat oleh Wira Warisan Putatan dan Penampang mengenai isu ini melalui sebuah akhbar tempatan telah dimuatnaik di media sosial dan hampir kesemua komentar² yang dibuat oleh penduduk² setempat dari Putatan mengesahkan bahawa tidak ada jadual kutipan sampah yang efisien di daerah ini.

5. Oleh yang demikian, saya mahu Ahli Parlimen Putatan, Marcus Mojigoh yang merupakan orang kuat BN dan Ahli Dewan Negeri Petagas, Yahya Husin yang merupakan Timbalan Ketua Menteri untuk segera turun padang dan melihat masalah ini sendiri.

Pekerja-pekerja dari Majlis Daerah Putatan membersihkan kawasan buang sampah selepas diketuk oleh Parti Warisan Sabah baru-baru ini.

6. Oleh kerana isu ini sudah lama menjadi permasalahan kepada warga Putatan, saya juga mahukan kedua-dua wakil rakyat BN ini yang merupakan penyokong kuat kepada GST yang diperkenalkan oleh Najib Razak untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh masa sebulan serta mengemukakan kepada warga Putatan satu plan konkrit mengenai pengurusan sampah yang efisien.

7. BN Sabah kerapkali mengatakan bahawa cuma BN sahaja yang boleh membawa pembangunan di negeri Sabah maka saya cabar kedua-dua wakil rakyat BN ini untuk membuktikan kehebatan BN Sabah sepertimana yang diwar-warkan dengan menyelesaikan masalah ini tanpa membabitkan peningkatan cukai perkadaran yang dikenakan terhadap bangunan² yang ada di daerah ini.

8. Kegagalan mereka untuk menyelesaikan isu ini serta menyediakan satu plan pengurusan sampah yang konkrit agar masalah ini tidak berulang lagi jelas akan membuktikan bahawa BN Putatan tidak mampu untuk mentadbir daerah ini dengan cekap dan bertanggungjawab!

9. Pada masa yang sama, Parti Warisan Sabah akan mengemukakan cadangan mengenai pengurusan sampah serta landskaping dikawasan² perumahan di daerah ini agar ianya akan menjadi bersih dan teratur seperti kawasan² perumahan utama di Bandaraya Kota Kinabalu.

  • Dato Mohd Azis Bin Hj Jamman adalah Ketua Wira Parti Warisan Sabah