Sembilan Premis Proses Makanan Diarah Tutup Di Sandakan

9288
Gambar hiasan

SANDAKAN: Sembilan premis dan kilang memproses makanan daripada 22 yang diperiksa di daerah ini diarah tutup dalam satu operasi selama dua hari bermula semalam (Rabu).

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr Johari Awang Besar berkata Ops Khas Kilang Makanan 2017 yang berakhir hari ini dilaksanakan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Sandakan.

Katanya kesemua sembilan kilang dan premis berkenaan diarah tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, lima notis dikeluarkan di bawah Seksyen 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Menurutnuya dalam operasi itu juga sebanyak lapan buah premis diarah melakukan kerja pembersihan premis di bawah Seksyen 10 Akta Makanan 1983.

“Kilang yang diperiksa terdiri daripada kilang pemprosesan ikan dan hasilan ikan, minuman berkarbonat, mee kering dan basah, minyak masak, serbuk kopi, bakeri dan blok ais,” katanya di sini hari Khamis.

Johari berkata di daerah ini terdapat 96 premis atau kilang memproses makanan termasuk 22 kilang menghasilkan lemak dan minyak masakan, 16 kilang atau premis memproses bijirin termasuk kek dan 14 kilang blok ais serta memproses kopi, pembungkusan beras dan lain-lain berasaskan makanan.

Menurutnya operasi itu bertujuan untuk memastikan kilang pemprosesan makanan di daerah ini beroperasi dengan bersih dan selamat serta mematuhi peraturan penyediaan makanan yang telah ditetapkan.